Razman digantung sidang DUN: 'Cukuplah politik lama memecah belah' - Dr Termizi
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Penggantungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria selama enam bulan daripada menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, menggambarkan rakyat negeri itu menolak budaya politik kebencian.
Timbalan Pengerusi Parti AMANAH Negara (AMANAH) Perak, Dr Ahmad Termizi Ramli berkata, pihaknya yakin rakyat kini lebih matang untuk menilai antara pemimpin yang benar-benar membawa nilai murni dan mereka yang sekadar mempergunakan agama demi agenda politik sempit.
Ujarnya, dalam suasana Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, insiden sedemikian menjadi peringatan bahawa integriti dan kejujuran adalah asas penting kepimpinan.
''Cukuplah dengan politik lama yang memecah belah.. marilah kita bina semula keyakinan rakyat dengan politik bersih dan matang.
''Keputusan (penggantungan) ini bukan sekadar penguatkuasaan peraturan dewan, tetapi satu manifestasi bahawa rakyat Perak menolak budaya politik kebencian.
''Ia mengangkat martabat rakyat yang mahukan politik berakhlak dan berasaskan fakta, bukan fitnah dan emosi,'' katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Walaupun sering membawa imej sebagai tokoh agama, Ahmad Termizi mendakwa tindakan Razman sedikitnya telah mencemarkan nama baik agama Islam itu sendiri.
''Agama tidak pernah mengajar kebencian, perpecahan atau penipuan, sebaliknya mengangkat nilai amanah, adab dan kebenaran,'' katanya yang turut menyambut baik keputusan penggantungan terhadap Ketua Pembangkang Perak itu.
Dalam laporan media sebelum ini, Razman ketika Persidangan DUN Perak pada Disember tahun lalu dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan serta menimbulkan perasaan sakit hati di bawah Peraturan 40 (11)(b) dan (c) Perintah-Perintah Tetap.
댓글