Rasionalisasi subsidi petrol: Guna kaedah jenis kenderaan, bukan MyKad
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) perlu menjelaskan kewajaran menyalurkan subsidi bahan api RON95 secara menggunakan kad pengenalan (MyKad), kata Khalid Samad.
Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan itu berkata, hal itu kerana kaedah menggunakan kad pengenalan berpotensi menimbulkan masalah seperti seseorang meminjamkannya kepada individu yang ingin mendapatkan harga petrol pada kadar subsidi dan sebagainya.
''Selepas saya buat sidang media minggu lepas (tentang isu ini), saya dihubungi satu pihak mengatakan mereka telah membuat 'presentation' pada Februari atau Mac tahun lalu kepada pasukan Rasionalisasi Subsidi Petrol di bawah MOF.
''Namun (sehingga hari ini) belum ada maklum balas (daripada pihak kerajaan). Sistem mereka menggunakan teknologi bukan berdasarkan kad pengenalan, tetapi kepada jenis kenderaan.
''Tuan-tuan kena akui yang bawa kereta Bently itu bila isi minyak, bukan tuannya.. tapi pemandunya.
''Kalau bawa kad pengenalan nak isi minyak, mereka akan dapat kadar minyak B40. Kalau nak gunakan kad pengenalan untuk kenal pasti siapa yang sepatutnya bayar harga bukan subsidi, ia pendekatan tidak munasabah,'' katanya pada sidang media, di ibu negara hari ini.
Mantan Menteri Wilayah Persekutuan itu menyifatkan sistem yang dicadangkan oleh syarikat berkenaan lebih munasabah iaitu menggunakan kaedah jenis kereta yang mengisi minyak.
Maka katanya, kereta-kereta mewah yang telah dikenal pasti siapa pemiliknya berdasarkan rekod pendaftaran kenderaan perlu membayar kadar minyak tanpa subsidi sekiranya sistem itu diguna pakai berbanding kaedah menggunakan kad pengenalan.
''Memandangkan ia telah dibentangkan kepada pasukan Rasionalisasi Subsidi Petrol, saya rasa ia sepatutnya dibincang dan dipertimbangkan (terlebih dahulu).
''Kalau masih lagi nak gunakan kad pengenalan, harap pihak kerajaan jelaskan perkara itu,'' ujarnya lagi.
Rasionalisasi subsidi petrol dijangka akan mula dilaksanakan pada pertengahan tahun ini dan peruntukan untuk melaksanakannya telah pun dibentangkan dalam Belanjawan 2025.
Comments