
Kerajaan Negeri Selangor dijangka akan membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) ke Dewan Negeri Selangor pada tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, RS-2 bakal menjadi kerangka hala tuju baharu pembangunan negeri yang akan memberi tumpuan antaranya kepada jajaran rel Selangor yang bakal meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam, kereta api di utara dan selatan negeri.
"RS-2 yang akan saya bentang tahun depan, kita akan melancarkan jajaran rel Selangor. Kita nak tengok macam mana utara dan selatan Selangor yang tidak terhubung jajaran LRT, MRT dihubungkan.
"Jadi kalau kita dapat sampaikan Kuala Langat, Sepang, Sabak Bernam, Sekinchan. Itu impian saya, saya nak tengok orang boleh duduk di Sekinchan, tapi kerja di Petaling Jaya hari-hari naik kereta api. Saya sedang bincang bagaimana kos nak membangunkannya," katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam segmen Teh Tarik, Kopi O terbitan Selangor FM pada Isnin.
Kerajaan Negeri pada Julai 2022 mengumumkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang bertujuan membentuk ekonomi mampan sekaligus menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.
Manakala RS-2 pula bertujuan RS-1 bertujuan memastikan Selangor mampu kekal menjadi negeri peneraju ekonomi negara.
Sementara itu Amirudin berkata, pihaknya turut melihat kewajaran usaha peremajaan semula bandar dan lokaliti di negeri itu yang dibangunkan sejak 1970-an bagi mengelak kemunduran kualiti infrastruktur.
"Setengah lokaliti sudah berusia 40 hingga 50 tahun ke atas, jadi kita perlu peremajaan semula bandar.
"Ini cabaran besar yang saya rasa kita perlu buat dalam masa terdekat, kalau tidak beberapa lokaliti akan merudum kualitinya, rumah tidak terkini, sistem ketinggalan zaman. Contohnya perpaipan, paip lama jenis kecil dan sebagainya," kata beliau dipetik.
Comments