Rancangan Selangor 2: Isu Pengangkutan, Sosial Harus Diutamakan
- Suara Keadilan
- Mar 8
- 3 min read
Updated: Mar 10

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bakal mencapai tempoh matang menjelang tahun 2025, Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor dan pencetus RS-1 mengakui bahawa tidak semua rancangan yang telah dirangka akan dapat dicapai apabila RS-1 mencapai tempoh matangnya.
Sehingga kini beberapa pemacu perubahan dan projek pemangkin masih dalam proses pembangunan dan mungkin tidak dapat disiapkan apabila tahun 2025 berakhir.
Walaupun Kerajaan Madani Selangor tidak dapat menyelesaikan kesemua perancangan RS-1 namun pencapaian RS-1 tetap perlu dibanggakan kerana berjaya dilaksanakan dalam tempoh negara sedang cuba pulih daripada serangan Covid-19.
RS-2 tumpu pengangkutan rel
Pada ketika ini Menteri Besar Selangor telah mengumumkan bahawa Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bakal dibentangkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada tahun 2026. Maklumat awal berkenaan RS-2 memberi bayangan bahawa rancangan tersebut bakal memberi tumpuan kepada jajaran rel Selangor yang bakal meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam, kereta api di utara dan selatan.

RS-1 sebelum ini lebih memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi ke arah kelestarian rakyat dan alam sekitar, fokus yang diberikan oleh RS-1 dan RS-2 dibangunkan bergantung kepada cabaran semasa yang dianggap penting untuk ditangani oleh pihak kerajaan.
Menjelang pembentangan RS-2, terdapat penambahbaikan yang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Madani Selangor terutama melibatkan tema strategik. RS-1 sebelum ini hanya menumpukan pembangunan secara potensi dan nilai tambah dalam kalangan rakyat Negeri Selangor, fokus tersebut diberi keutamaan di dalam RS-1 memandangkang majoriti rakyat Negeri Selangor masih dalam proses menyesuaikan diri dengan zaman pasca Covid-19.
Namun sepanjang tempoh 2026 – 2030 cabaran rakyat Negeri Selangor adalah berbeza di mana isu jati diri menjadi persoalan besar dalam kalangan masyarakat terbanyak. Persoalan perpaduan yang berhadapan dengan cabaran kaum dan agama bakal menjadi tema besar yang perlu diselesaikan sekiranya kemakmuran dan kemajuan ekonomi ingin dikecapi oleh Negeri Selangor.
Angkat isu jati diri
Justeru adalah dicadangkan agar RS-2 turut mengangkat tema jati diri, tema tersebut mula menjadi musuh terbesar terhadap perpaduan dan kesejahteraan Negeri Selangor apabila wujud usaha pihak tertentu yang memainkan isu 3R secara keterlaluan (Race, Religion, Royalty).
Isu 3R adalah perkara yang sanga sensitif dalam kalangan rakyat majoriti di Negeri Selangor yang mana 55% daripada jumlah keseluruhan penduduknya terdiri daripada kaum Melayu-Islam. Kemajmukan kaum di Negeri Selangor merupakan anugerah di mana setiap kaum mampu menyumbang mengikut kepakaran dan keistimewaan masing-masing, namun kemajmukan itu jika tidak diuruskan dengan sebaiknya ia bakal menjadi bom jangka yang bakal meruntuhkan seluruh pasak-pasak yang telah dipahat untuk menstabilkan masyarakat di Negeri Selangor.
Beberapa kes yang berlaku beberapa tahun lepas menjadi bukti bahawa isu 3R menjadi ancaman utama yang perlu ditangani secara berkesan sepanjang perlaksanaan RS-2. Antara kes yang menjadi penanda aras adalah Ops Cantas (melibatkan kaum Rohingya di kawasan Ampang), Rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman (mengakibatkan terkorbannya seorang anggota bomba) dan isu Azan di Puchong (sekumpulan penduduk di Puchong mengadakan petisyen untuk membantah azan terhadap sebuah masjid). Malah Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang melaporkan bahawa kes membabitkan isu 3R meningkat sebanyak 123% bagi tahun 2024.
Banteras isu 3R
Justeru sebuah perancangan yang teliti dengan peruntukan dana dan pembangunan fasiliti perlu mula dirangka bagi mengelakkan isu 3R terus membarah sehingga menjadi ancaman kepada kesejahteraan ekonomi di Negeri Selangor. Jati diri yang jelas sebagai rakyat Negeri Selangor perlu mula didoktrinkan dalam kalangan rakyat, platform fizikal yang mampu mempertemu dan menyatukan rakyat rentas kaum perlu diwujudkan sebagai projek berimpak tinggi di dalam RS-2.
Konsep-konsep yang mampu menyatukan seluruh rakyat Negeri Selangor perlu dilaksanakan dengan berani menjelang perlaksanaan RS-2, sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor telah membangunkan Dasar Perpaduan Negeri Selangor yang mengangkat konsep Bangsa Sepunya namun masih belum mampu dibentangkan di dalam DUN Selangor.
Sudah sampai masanya dalam perlaksanaan RS-2 untuk Kerajaan Madani Selangor memperkukuhkan jati diri rakyat Negeri Selangor demi memastikan kesejahteraan ekonomi dan alam sekitar terpelihara.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments