Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada Selasa mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk memperkasa dan memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi komuniti India.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata, jumlah peruntukkan melalui TEKUN Nasional itu merupakan yang terbesar pernah diberikan untuk membantu komuniti India sejak 2008.
Jelasnya, RM50 juta daripada dana itu bakal disalurkan melalui Skim Pembiayaan SPUMI Goes Big dan RM50 juta lagi melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI).
"Kalau kita lihat, sebelum ini bajet (SPUMI) yang ditetapkan (dalam Belanjawan 2025) ialah RM30 juta sahaja, tetapi Perdana Menteri telah menugaskan saya untuk menjaga hal-hal komuniti India dengan meningkatkan dan memperbanyakkan inisiatif tahun ini.
"Jadi sebagai permulaan, TEKUN melalui dana dalaman mereka akan tambah RM70 juta lagi, menjadikan peruntukan keseluruhan SPUMI ialah RM100 juta tahun," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu pada satu sidang media khas sempena sambutan Ponggal di Sungai Buloh.
Sementara itu Ramanan memaklumkan, di bawah SPUMI Tekun akan memberikan pembiayaan dana antara RM1,000 hingga RM50,000 kepada mereka yang layak manakala melalui SPUMI Goes Big (RM50,000-RM100,000) dengan tempoh kelulusan kurang daripada 14 hari.
Sehubungan itu usahawan India yang berminat mendapatkan dana itu jelasnya boleh mengemukakan permohonan di laman sesawang Tekun atau berkunjung ke mana-mana pejabat yang berdekatan.
"Inisiatif ini lambang keprihatinan dan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada individu atau kumpulan yang terpinggir dalam kemajuan ekonomi negara.
"Justeru, saya berharap masyarakat India mengambil peluang ini untuk meningkatkan taraf hidup sekali gus membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara signifikan," tambahnya.
댓글