
Oleh: Akmal Manaf
Semua pihak perlu mengambil kesempatan sempena Ramadan ini untuk berpuasa dari fitnah politik, perkauman dan agama yang menyuburkan budaya kebencian serta permusuhan.
Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, berpuasa tidak cukup sekadar menghalang diri daripada makan dan minum semata-mata, sebaliknya juga wajib menghalang daripada memfitnah dan menyekat hati daripada menularnya perasaan dendam dan benci sesama insan.
"Jadikan majlis berbuka sebagai talian silaturahim dengan kita bersikap Rahmah rentas kepartian dan kelompok.
"Sememangnya maqasid (tujuan syariat) berpuasa itu adalah untuk kita membebaskan diri daripada kitaran akhlak yang keji ke arah akhlak yang terpuji, jika tidak, apa yang kita perolehi daripada ibadah puasa hanyalah lapar dan dahaga.
"Ramadan mendidik kita menghayati makna hidup yang mulia dan akhlak yang terpuji," katanya dalam satu kenyataan.
Mujahid yang juga Ahli Dewan Negara berkata, rahsia berpuasa adalah sesuatu yang mendalam ertinya kepada kehidupan umat Islam yang mana selain ibadah, ia juga adalah amalan kesihatan yang terbukti menghidupkan semula kesegaran sel-sel tubuh badan yang semakin lusuh.
"Dalam suasana dunia yang kelam dan pekat dengan kitaran fitnah, Ramadan muncul sebagai satu cahaya yang memberi harapan untuk kita bergerak keluar dari kitaran ganas ini.
"Ini adalah kerana Ramadan adalah bulan al-Quran dan al-Quran adalah petunjuk kepada manusia dan keterangan dari petunjuk serta berupaya membedakan antara garisan Haq dan Batil.
"Saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat kita berpuasa daripada menyebarkan fitnah dan selamat kita berpuasa dari perasaan kebencian dan permusuhan sesama kita," ujarnya lagi.
Kommentare