Rakyat Malaysia tidak boleh lagi berfikir bermudah mudah atau terjebak ke arah fikrah jumud pada waktu pemimpin negara memfokuskan mengejar kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.
Hal itu disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan sewaktu sesi lawatannya ke Arab Saudi dan Mesir bertemu pelajar Malaysia di sana selepas mengerjakan umrah di tanah suci baru baru ini.
Dalam pertemuan dengan pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir dan Universiti Islam Madinah, Dr Zulkifli menyampaikan perkongsian tentang perkembangan terkini Malaysia Madani, isu-isu semasa dan aspek kenegaraan serta peranan negara pada peringkat antarabangsa termasuk sebagai Pengerusi ASEAN.
Di Mesir, walaupun lawatan peribadi Dr Zulkifli singkat jadual beliau penuh dengan sesi bersama pimpinan pelajar dan penerima anugerah kecemerlangan termasuk Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian.
Perjumpaan dengan pelajar bertujuan memberi sokongan moral serta motivasi kepada mereka yang berada jauh di perantauan.
Beliau juga menjelaskan Malaysia kini menjadi ‘trend setter’ dan ‘thought leader’ dalam menerajui ASEAN. Negara waktu ini menjadi rujukan serantau dan dunia.
"(Jadi) rakyat Malaysia perlu disibukkan dengan perkara yang lebih produktif, membina dan mendamaikan. Kita tidak boleh hilang fokus sekiranya ingin membawa Malaysia ke arah lebih gemilang di persada dunia," katanya.
Dalam sesi dialog itu Dr Zulkifli memberi peluang kepada para pelajar untuk berkongsi buah fikiran dan komentar.
Beliau juga menekankan peri pentingnya pemikiran wasatiyah, inklusif, damai dalam meraikan kepelbagaian disemat dalam minda para pelajar.
"Ilmuwan mesti mempunyai kemahiran dan ketinggian akhlak; mampu menguruskan kepelbagaian, selain saling hormat menghormati sebaiknya," katanya lagi.
Comments