
Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Rakyat Malaysia disaran memanfaatkan penggunaan Chatbot Sebenarnya.my untuk mencari fakta yang sahih berkaitan dengan pelbagai isu termasuk bagi mengesan berita palsu atau fitnah melulu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap Kerajaan Madani.
Penggunaan Chatbot Sebenarnya.my wajar dibiasakan oleh masyarakat untuk mengelak diri daripada `menerima’ berita-berita fitnah tanpa membuat semakan terlebih dahulu.
Bantu Kerajaan Madani
Chatbot Sebenarnya.my yang juga lebih dikenali dengan AI (artificial intelligence) merupakan inovasi terkini untuk membantu Kerajaan Madani yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Chatbot Sebenarnya.my telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Putrajaya, baru-baru ini.
Ketua Wanita KEADILAN Negeri Pahang, Haslindalina Hashim membuat saranan tersebut sebagai menyokong usaha Kerajaan Madani melalui Kementerian Komunikasi yang melancarkan Chatbot Sebenarnya.my yang disifatkan amat bermanfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, chatbot tersebut akan bekerja dengan menganalisis pesanan yang diterima daripada pengguna, mengidentifikasi niat atau tujuan pengguna dan memberikan respons yang bersesuai dengan pertanyaan tersebut.
"Sesuai dengan peredaran masa, rakyat yang bijak pasti akan memanfaatkan penggunaan Chatbot Sebenarnya.my untuk memperolehi maklumat sahih terhadap apa yang mereka perlukan.
"Ini secara langsung dapat membendung fitnah daripada terus menular dan merosakkan perpaduan hidup bermasyarakat di negara ini," katanya yang juga Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan Negeri Pahang.
Selain itu, jelas beliau lagi, chatbot memiliki beberapa kelebihan yang dapat membantu Kerajaan Madani termasuk memberikan layanan dengan lebih berkesan.
"Adalah sangat diharapkan dengan adanya Chatbot Sebenarnya.my masyarakat dapat dicelikkan terutama terhadap mereka yang selama ini mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah palsu termasuk memburuk-burukkan pentadbiran PMX," katanya.
Bagi Exco Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat, Mahani Masban, beliau menyifatkan Catbot Sebenarnya.my adalah usaha yang terbaik yang dinantikan bagi mengekang berita-berita palsu daripada berleluasa di media sosial.

"Selama ini apa yang berlaku apabila rakyat membaca berita dan cerita yang tidak betul mereka panik. Ada yang percaya membabi buta tanpa ada ruang untuk mendapatkan kesahihan.
"Chatbot Sebenarnya.my diharap dapat membantu Kerajaan Madani untuk membuat pencerahan. Fitnah-fitnah dapat dibersihkan dan masyarakat mendapat info yang tepat.
"Dengan cara ini hidup lebih harmoni dan tenang. Negara boleh maju serta berkembang," katanya yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kota Melaka.
Comments