
Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden KEADILAN pada pemilihan parti yang berlangsung pada 24 Mei depan.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat bertujuan mengelak pergolakan dalaman parti yang boleh memberi kesan negatif kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
"Jika orang seperti saya berkata saya tidak berminat, saya mahu lakukan perkara lain, ia akan menimbulkan terlalu banyak drama dalam kerajaan (terutama) pada saat kita benar-benar perlu bertahan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
"Jadi, sama ada bernasib baik atau tidak, saya perlu bertahan dan akan tetap bertanding," katanya.
Rafizi sebelumnya ditemui pemberita selepas hadir melancarkan Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas Negara (OGSE) 2021-2030 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, fokus utama KEADILAN pada pemilihan kali ini adalah memastikan proses demokrasi berjalan secara matang dan sihat selain memastikan komitmen terhadap tugas dalam kerajaan dapat diteruskan.
"Saya tidak fikir rakyat mahu melihat terlalu banyak drama daripada mana-mana parti politik. Kita harus fokus pada kemungkinan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2028," katanya dipetik.
Comments