Tindakan Ahli Parlimen pembangkang membacakan qunut nazilah sebagai bantahan terhadap lawan politiknya dianggap satu perbuatan yang bertentangan dengan prinsip Islam sebenar, tegas Menteri Dalam Negeri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, qunut nazilah tidak seharusnya dibaca untuk mendoakan kehancuran seteru politik sesama umat Islam.
"Sebarang bentuk perbuatan ekstrem yang melampau seperti itu harus ditolak rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian.
"Pada zaman Nabi Muhammad SAW, qunut nazilah dibaca pada situasi antaranya apabila sekumpulan sahabat Nabi dibunuh secara khianat. Rasulullah membaca qunut nazilah selama sebulan untuk memohon Allah SWT membalas perbuatan itu," katanya dipetik dalam sidang media selepas mesyuarat pasca Kabinet di Putrajaya semalam.
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung KEADILAN berkata, qunut nazilah juga tidak dibacakan ketika berlaku pertelingkahan politik membabitkan sahabat Nabi Muhammad s.a.w pada era khulafa al rasyidin.
Jelasnya perbuatan membacakan doa untuk kehancuran bagi seteru politik sesama Islam bukan akhlak Islam dan perbezaan politik tidak seharusnya sampai ke peringkat menggunakan pendekatan takfiri.
"Ini bukan akhlak politik Islam, beza pandangan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk menghakimi iman atau soleh seseorang itu," katanya.
Semalam, dilaporkan wakil rakyat pembangkang membuat bacaan qunut nazilah dipimpin Ahli Parlimen Jasin Zulkilfli Ismail selepas Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Ditanya sejauh mana pihak kerajaan merasakan tindakan membaca doa qunut itu ditujukan kepada mereka, Saifuddin Nasution kemudian merujuk bahawa insiden itu berlaku di Dewan Rakyat.
"Di mana insiden itu berlaku semalam? Di Parlimen. Jadi ia ditujukan kepada Israel di Gaza atau apa? Perbuatan membaca qunut nazilah sejurus selepas keputusan Parlimen, kerana tidak bersetuju dengan tindakan menggantung seorang Ahli Parlimen yang ada sebab musababnya melalui proses Parlimen.
"Saya katakan ini contoh amalan politik melampau, perbezaan politik terus dijadikan asas untuk memohon doa kehancuran. Ini bukan amalan Islam. Jadi sejauh mana kerajaan anggap ini sebagai ditujukan kepada kerajaan, situasi semalam dan kondisi, jawapan telah jelas," katanya.
Beliau berkata perbezaan politik dalam kalangan umat Islam tidak sepatutnya dianggap sebagai berbeza akidah dan keimananan.
Comments