Oleh: Luqman Tarmizi
ULASAN: Isu ‘qunut nazilah’ dalam percakaran politik nasional timbul lagi. Imbas kembali pada Julai 2023, pimpinan Pas seru dibacakan Qunut Nazilah kerana mendakwa YAB Menteri Besar Kedah sedang dizalimi melalui pertuduhan di mahkamah. Kali ini pula kerana penggantungan YB Machang dari sidang Parlimen, lalu YB Jasin ustaz Zulkifli Ismail memimpin bacaan doa “Qunut Nazilah” dan diaminkan beramai-ramai oleh Ahli Parlimen PN.
‘Qunut Nazilah’ juga dilaporkan pernah dibaca oleh golongan anti vaksin terhadap mantan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kerana beliau berazam akan “menyusahkan kehidupan golongan anti vaksin.” Tidak lama dulu juga pernah timbul isu bacaan qunut nazilah oleh pasukan ragbi sebuah sekolah yang sedang bertanding.
Mufti, asatizah tegur
Kesemua perbuatan ini telah ditegur oleh para mufti dan asatizah dengan cukup baik. Mesejnya jelas, bahawa qunut nazilah itu hanya dituju terhadap musuh Islam, atau ketika umat Islam ditimpa bencana, atau ketika situasi perang.
Sebab itu doa ini dibaca sepanjang wabak Covid melanda negara kita dahulu, dan ia kini dilazimi di banyak tempat kerana genosid yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap umat di Gaza dan Palestin.
Tulisan saya ini akan cuba memberi pencerahan terhadap beberapa perkara yang saya rasakan penting.
PERTAMA, istilah “doa qunut” sebenarnya merujuk kepada doa yang dibaca ketika iktidal dalam solat. "Qunut nazilah" pula merupakan doa untuk memohon kepada Allah SWT supaya diangkat atau dihilangkan sesuatu bala atau bencana yang menimpa umat Islam secara umum seperti penularan wabak, serangan musuh, kepungan musuh terhadap kumpulan muslimin, berlaku kebuluran ramai, kemarau panjang dan sebagainya.
Syarat dibacakan qunut nazilah
Adapun doa yang dibaca oleh YB Jasin itu, ia tidak boleh diistilah qunut nazilah, kerana ia dibaca di luar solat, bukan ketika perang, bukan pula kerana musibah yang menimpa umat Islam secara umum, bukan pula dituju ke atas musuh Islam. Ia lebih sesuai dinamakan doa memohon kehancuran terhadap musuh, dan dalam kes ini, musuh dari sudut politik kepartian.
Doa ini sering dibaca oleh pimpinan Pas, khasnya sewaktu hampir pilihanraya.
Contohnya dalam sebuah majlis solat hajat pada November 2012 sempena Muktamar Pas ke-58, satu doa telah dibaca yang antara lain memohon agar "Umno dan BN dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan bumi dan Namrud serta Abu Lahab dilaknati."
Begitu juga pada Mac 2018, AJK Pas Selangor waktu itu Dusuki Abdul Rani telah mendoakan kehancuran 'pakatan jahat' yang merujuk kepada Pakatan Harapan, serta agar Allah SWT menghancurkan pakatan itu seperti leburkan pakatan Ahzab.
Dalam bab ini ada perbahasan lain pula, berkenaan hukum mendoakan kehancuran terhadap sesama Islam, yang tidak akan dibahas dalam tulisan ini.
KEDUA, doa qunut nazilah (dalam solat) atau doa memohon kehancuran musuh (luar solat) yang sering kita baca merupakan hasil cantuman beberapa doa yang warid daripada Nabi SAW dalam beberapa keadaan, lalu digabungkan dengan doa yang digubah bukan oleh Baginda. Contohnya:
i. Doa Nabi ketika rasa takut terhadap suatu kumpulan (Rujuk Azkar Nawawiyyah) - اللهم ﺇنا نجعلك في نحور أعدائنا ونعوذبك من شرورهم (Ya Allah, aku menjadikan-Mu sebagai benteng antara kami dengan musuh-musuh kami, dan kami berlindung daripada kejahatan mereka)
ii. Doa khatam al-Quran oleh Syeikh Ahmad Zaini Dahlan (Dinukil secara panjang lebar oleh Syeikh al-Bakri al-Dimyati dalam I'anah al-Talibin) - اللهم أهلك الكفرة الذين يصدون عن سبيلك، ويكذبون رسلك، ويقاتلون أولياءك. اللهم شتت شملهم اللهم فرق جمعهم (Ya Allah, hancurkanlah golongan kafir yang menghalang jalan-Mu, mendustakan Rasul-Mu, dan membunuh para wali-Mu. Ya Allah, kacau bilaukan persatuan mereka , dan cerai-beraikan pakatan mereka)
iii. Doa Saad bin Abi Waqqas selaku pemanah ketika perang Badar - زلزِلْ أقدامَهم (saya kurang pasti sama ada ia bermaksud literal iaitu menggoyahkan tapak kaki musuh, atau secara figuratif iaitu menggoncang pendirian mereka)
iv. Doa Nabi terhadap Lahab bin Abi Lahab kerana terlalu kerap mencela dan menghina Baginda - من كلابك اللهم سلط عليه كلبك (Riwayat al-Hakim dalam Dalail Nubuwwah) yang bermaksud: dan hantarkan kepadanya salah seekor anjing-Mu. Akhirnya Lahab mati dibaham singa.
v. Doa ketika Perang Ahzab (Rujuk Sahih Bukhari) - اللهم منزل الكتاب، ومجري السحاب، وهازم الأحزاب اهزمهم، وانصرنا عليهم (Wahai Allah, Tuhan yang menurunkan Kitab al-Quran, Tuhan yang menggerakkan awan , Tuhan yang mengalahkan tentera Ahzab, menangkanlah kami ke atas mereka)
Saya tidak temui dalam carian saya akan mana-mana hadith atau riwayat sirah yang memuatkan kesemua lafaz doa ini dalam satu matan. Saya juga tidak sempat mencari lebih lanjut siapa yang mula-mula menggubah doa qunut nazilah dalam bentuk yang kita lazimi sekarang.
Dibaca dalam konteks jihad perang
KETIGA, apabila diteliti doa-doa ini semua dibaca dalam konteks jihad perang (qital) antara umat Islam melawan kuffar. Diriwayatkan juga bahawa Khalifah Abu Bakar turut mengamalkan doa qunut nazilah ketika jihad melawan Musailamah al-Kazzab si nabi palsu serta golongan yang enggan membayar zakat yang telah dihukum sebagai murtad.
Tiada riwayat baginda membaca doa ini terhadap golongan munafiq di Madinah pada waktu itu, walaupun khalifah tahu benar hakikat kekufuran mereka dan makar yang mereka rencanakan terhadap Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa doa qunut nazilah atau doa kehancuran musuh ini perlu dibaca dalam konteks yang betul dan tidak boleh dibaca secara sesuka hati.
KEEMPAT, saya percaya ustaz Zulkifli sendiri tahu dan sedar akan hal ini. Tapi mungkin beliau tersilap, terbawa-bawa dengan emosi ketika amarah politik sedang memuncak. Apatah lagi garis antara politik kepartian dan politik keagamaan kini menjadi kabur, lalu berleluasa salah faham yang menyebabkan persaingan antara parti politik sering disalahtanggapi sebagai perjuangan 'jihad akbar' antara pihak Islam melawan kebatilan.
Justeru kita dengan rendah hati memohon agar ustaz Zulkifli Ismail mencerahkan kembali kekeliruan yang telah terhasil. Kita tidak mahu tindakannya itu menjadi suatu 'sunnah sayyi'ah' atau bad precedent yang akhirnya akan menormalisasikan suatu tindakan yang salah.
Moga kita semua diampuni Allah SWT atas segala kesalahan dan keterlanjuran.
_____________________________________________________________________________
Penulis merupakan Koordinator Asatizah Selangor
Comments