Putra Heights: Penempatan semula mangsa kebakaran diputus Isnin ini
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 2 min read

Keputusan berhubung penempatan sementara bagi mangsa insiden kebakaran saluran gas Putra Heights, Subang Jaya akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Isnin ini, demikian menurut Menteri Besar Selangor.
Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan bersama Petronas dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dengan sebanyak 87 buah rumah didapati musnah sepenuhnya.
"Setakat ini yang kita nampak dalam tempoh dua minggu pertama, PPS (pusat penempatan sementara) adalah tempat yang sesuai untuk kita tempatkan mangsa dan kita akan tambah baik daripada semasa ke semasa.
"Bergantung kepada perbincangan esok bersama Petronas, mereka boleh berpindah ke tempat-tempat tertentu, ada banyak ditawarkan sebagai contoh Airbnb menawarkan rumah untuk mangsa yang kediamannya rosak sepenuhnya untuk duduk selama beberapa bulan," katanya pada sidang media di Dewan Annexe, Bangunan SUK Selangor, Shah Alam hari ini.
Pada pagi Selasa lalu negara dikejutkan dengan kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights yang menyebabkan
ratusan kediaman serta harta benda, termasuk kenderaan dalam radius 500 meter dari lokasi kejadian, musnah dan rosak akibat bahang kebakaran.
Insiden kira-kira pukul 8 pagi itu menyebabkan ratusan penduduk hilang tempat tinggal dan dipindahkan ke PPS serta puluhan lagi cedera dan sedang menerima rawatan di beberapa hospital.
Menurut Amirudin Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mendapati sebanyak 87 rumah mengalami kemusnahan menyeluruh dan tidak boleh didiami susulan kejadian kebakaran pada Selasa lalu.
Tambahnya sebanyak 148 rumah pula mengalami kerosakan dan boleh didiami selepas dibaik pulih.
Selain itu, Amirudin berkata dua mangsa kebakaran masih dirawat masing-masing di Hospital Ampang dan Hospital Kuala Lumpur berikutan mempunyai kritikal pada sistem pernafasan manakala 630 mangsa daripada 157 keluarga kini ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia Putra Heights.
Beliau memaklumkan Kerajaan Negeri turut menerima tawaran sumbangan kenderaan untuk diberikan kepada mangsa daripada sebuah syarikat jual beli kereta yang akan diuruskan pejabat Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga mengaktifkan Tabung Prihatin Negeri bagi pihak yang ingin menghulurkan sumbangan kewangan selain menggerakkan unit sukarelawan negeri Selangor Volunteer (SERVE).
"Kita juga telah mengarahkan pihak KDEB Waste Management untuk turun ke lapangan bagi menggerakkan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang berkaitan," katanya.
Commentaires