Oleh: Abdullah Zaid
Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berakhir selepas kesemua 20 pusat pengundian yang dibuka bermula 8 pagi tadi, ditutup secara rasmi pukul 6 petang ini.
Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi berkenaan dibawa ke Dewan Tunku Ibrahim Ismail dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan dapat diumumkan seawal 9 malam.
Setakat 4 petang tadi, sebanyak 47.16% pengundi daripada 66,318 orang telah menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu DUN Mahkota.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Perpaduan (BN) yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, dan wakil daripada Perikatan Nasional (PN).
PRK DUN Mahkota ialah PRK keempat tahun ini selepas PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan).
DUN Mahkota mula dipertandingkan pada 2004 dan telah melalui lima pilihan raya dengan empat daripadanya dimenangi BN.
*Foto kredit: Umno online
コメント