
Oleh: Akmal Manaf
Malaysian Humanitarian Aid & Relief (MAHAR) mengecam serangan biadab tentera Israel yang mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) bagi mengebom Gaza.
Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan serangan itu sekali gus menggambarkan pelanggaran perjanjian gencatan senjata pada bulan Ramadan ini.
Beliau berkata, serangan menyasarkan keluarga yang sedang berbuka puasa, mengebom masjid ketika solat malam sekali gus memusnahkan seluruh keluarga dan blok kediaman menunjukkan kekejaman melangkaui sempadan moral dan agama.
Katanya, serangan itu telah menyebabkan 2.3 juta penduduk Gaza terperangkap dalam 'kotak pembunuhan' seperti yang diumpamakan mangsa terselamat.
"Pengeboman yang bermula pada 18 Mac lalu itu telah membunuh lebih 326 rakyat Palestin, termasuk 65 kanak-kanak manakala hospital pula dibanjiri 500 orang awam yang cedera parah, dan 10,000 orang kehilangan tempat tinggal yang kini berlindung di jalan-jalan yang hangus terbakar dan sekolah UNRWA.
"Mangsa yang terselamat menceritakan adegan mengerikan iaitu jemaah yang tertimbus di bawah runtuhan ketika solat Tarawih, manakala kanak-kanak mencari ibu bapa dalam runtuhan rumah mereka.
"Ini bukan peperangan, ia adalah penghapusan kehidupan dan maruah rakyat Palestin secara sistematik," katanya yang mengecam serangan terbaharu itu menerusi satu kenyataan.
Calon Naib Presiden KEADILAN itu menyifatkan, bulan Ramadan yang dahulunya dikenali sebagai simbol perpaduan kini umpama 'menerangi kubur yang besar'.
Susulan serangan Israel itu, Nurul Izzah berkata pihaknya menuntut tindakan segera termasuk dari Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menguatkuasakan resolusi bagi menghentikan semua operasi ketenteraan, memulihkan gencatan senjata dan mendakwa Israel ke atas jenayah perang di bawah Statut Rom.
Beliau menegaskan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab juga tidak boleh kekal pasif apabila tapak suci dimusnahkan dan undang-undang antarabangsa dipermainkan.
"Kami menyeru setiap individu, kumpulan dan kerajaan untuk mengecam pembunuhan beramai-ramai terbaharu ini dan memulihkan usaha dalam menjamin keamanan," ujarnya lagi.
コメント