Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad digesa meletakkan jawatan susulan kalah kes saman fitnah difailkan tiga pemimpin DAP.
Ketua Pemuda AMANAH Kepala Batas, Abrar Sadiq Azizi berkata, tindakan Siti Mastura memfitnah tiga pemimpin itu mengaitkan mereka dengan Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng sangat memalukan dan telah mencemar imej kawasan tersebut yang selama ini terkenal dengan prinsip kesederhanaan, ketelusan dan amanah.
"Fitnah yang disebarkan Siti Mastura bukan sahaja menjejaskan integriti peribadi beliau sebagai seorang pemimpin yang berpendidikan doktor falsafah (PhD), tetapi juga mencalarkan keyakinan rakyat terhadap sistem kepimpinan dan keharmonian masyarakat.
"Kami menuntut peletakan jawatan ini bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memilih pemimpin baharu melalui pelaksanaan PRK bagi memulihkan reputasi Parlimen Kepala Batas," katanya dalam kenyataan.
Mahkamah Tinggi George Town pada 4 Disember lalu mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi berjumlah RM750,000 kepada pemimpin DAP tersebut iaitu RM300,000 kepada Lim Kit Siang, RM250,000 kepada Lim Guan Eng, dan RM200,000 kepada Teresa Kok.
Siti Mastura yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM25,000 setiap seorang untuk ketiga-tiga plaintif.
Susulan itu PAS telah mengedarkan surat pekeliling memohon ‘derma jihad’ bagi membiayai Siti Mastura membayar RM825,000 segera, seperti diperintahkan.
"Tindakan memohon derma atas nama ‘jihad’ memperlihatkan PAS sebagai ‘parti yang menghalalkan fitnah’," tambah Abrar Sadiq dipetik.
Comments