Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus berusaha bagi memastikan negeri itu kekal kompetitif dalam pembangunan semikonduktor pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Bagi tujuan itu, tujuh strategi telah dirangka mengembangkan aktiviti elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor sedia ada.
"Kerajaan Negeri memberikan fokus dalam membangunkan rantaian bekalan untuk peralatan pembuatan bahagian hadapan dan menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta reka bentuk dan pembangunan (D&D).
"Selain itu, Kerajaan Negeri turut memastikan Pulau Pinang mencapai sasaran untuk menjadi negeri berorientasikan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) dengan menggalakkan pelabur mengamalkan konsep hijau bagi pembinaan kilang baru atau menaik taraf kilang sedia ada.
"Malah, taman-taman perindustrian baru bertaraf antarabangsa turut dibina seperti Taman Teknologi Bandar Cassia, Taman Perindustrian Batu Kawan III dan Penang Science Park Selatan yang bakal menambah jumlah kawasan perindustrian melebihi 800 ekar," kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow di Dewan Undangan Negeri pada Isnin.
Beliau sebelumnya menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon.
Sementara itu Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah, Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri juga akan memastikan kemudahan untuk menjalankan perniagaan di Pulau Pinang akan kekal kompetitif.
"Ini termasuk membantu para pelabur mencari lokasi pilihan, lokasi pilihan bagi memulakan operasi dan menjadi pemudah cara antara pelabur dengan agensi Persekutuan serta Negeri dalam pelbagai aspek," katanya dipetik laporan media.
Commentaires