Oleh: Mohd Azuan Ab Rahman
Kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan peruntukan RM239,832 sebagai bantuan khas kepada pesawah di negeri itu yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan negeri, Fahmi Zainol berkata, bantuan akan disalurkan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri membabitkan 131 pesawah di sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jumlah diterima setiap pesawah berbeza mengikut keluasan dan penilaian tahap kerosakan dialami akibat bencana terbabit dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun masing-masing.
"Banjir yang melanda baru-baru ini telah memberikan kesan besar kepada sektor pertanian, khususnya pesawah di negeri ini. Musibah ini telah menjejaskan sumber pendapatan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tuaian.
"Justeru, sebagai usaha membantu meringankan beban ditanggung, kerajaan negeri memperuntukkan bantuan berjumlah RM239,832 melalui LPP kepada 131 pesawah yang terjejas," katanya.
Terdahulu beliau yang juga ADN Pantai Jerejak hadir ke Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi di Kepala Batas pada Isnin.
Sementara itu tegasnya, kerajaan negeri akan terus berusaha meningkatkan daya tahan sektor pertanian, termasuk memperkenalkan langkah mitigasi bagi menghadapi perubahan iklim dan bencana alam yang semakin mencabar.
Bagaimanapun, katanya, perhatian dan sokongan daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan sektor pertanian negeri terus berkembang serta kekal berdaya saing.
Comments