Insiden orang kurang upaya (OKU) dipukul di tapak pasar tani di Chukai, Terengganu pada 17 Januari lalu membuktikan masyarakat tidak boleh dididik hanya dengan ceramah politik berbalut keagamaan semata mata.
Sebaliknya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli bin Hasan, umat memerlukan lebih banyak majlis ilmu, aktiviti, program dan kegiatan yang memupuk kasih sayang serta hormat menghormati antara satu sama lain.
"Jangan beri sebarang ruang elemen menanam kebencian dan bermusuhan, termasuk rasa terpaling mulia.
"Peristiwa warga OKU disakiti dan dipukul baru-baru ini, memberi iktibar kepada semua untuk melakukan sesuatu bagi memupuk dan mengembalikan sifat ihsan dan rahmah yang semakin hilang.
"Sedih melihat kebencian dan kekerasan jadi kebiasaan untuk sesetengah pihak," katanya dalam muatnaik di Facebook.
Dr Zulkifli dalam pada itu menukilkan sepotong hadis yang mafhumnya, Dari Abdillah bin Amr; Rasulullah ﷺ bersabda; “Orang-orang yang menyayangi orang lain, mereka disayangi oleh (Allah) Yang Maha Penyayang.
Maka sayangilah apa yang ada di bumi, nescaya kalian disayangi oleh yang berada di langit.” (HR At-Tirmidzi).
Justeru Dr Zulkifli berharap semua pihak mengambil ikhtibar daripada apa yang telah berlaku, dan bergerak ke arah masyarakat madani yang bertamadun.
Comentários