top of page

PRU16: Kerajaan Perpaduan Di Landasan Betul, Kekalkan Santuni Rakyat



Oleh: Dr. Bam Al-Haj


ULASAN: Dua tahun bukanlah tempoh yang lama. Namun itulah masa yang ada mencukupi untuk Pakatan Harapan (PH) bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU)16.


Dalam keadaan fitnah dan propaganda mendominasi naratif Melayu-Islam, apa lagi kajian menunjukkan setiap parti mempunyai penyokong tegar dan "fix-deposit" masing-masing, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) tidak seharusnya membuang masa bersikap apologetik dan seolah-olah mahu menjadi lebih Islamik bagi menyaingi Pas.


PH sebenarnya perlu meneruskan pendirian sederhana dan pertengahan (wasatiyyah) yang sesuai dengan masyarakat majmuk di negara ini. Paksi tengah. Tidak perlu terlalu ke kiri atau terlalu ke kanan.


Pembangkang gagal


PH juga tidak perlu gelabah dengan pengaruh Pas dan Bersatu yang hanya bergantung kepada retorik palsu "Melayu-Islam", sedangkan kemampuan mereka mengurus empat negeri juga belum terbukti.


Hendak membina sebuah hentian bas di Kota Bharu pun mereka mengharapkan kerajaan pusat, walaupun sudah diberikan RM400 juta pada 2019.


Ibarat "kera mendapat bunga", mereka berhabis wang untuk membeli Mercedes Benz dan meluluskan bonus RM50,000 demi kegunaan peribadi Menteri Besar dan Exco, tanpa ada satu pun projek besar untuk rakyat Kelantan.


Begitu juga Terengganu yang hanya mengharapkan wang royalti Petronas untuk mengurus negeri, tanpa berjaya menambah pendapatan dan membawa pembaharuan.


SG4 ternyata gagal berfungsi. Sebab itulah mereka hanya bergantung kepada fitnah "Melayu terancam, Islam tegugat" dan propaganda murahan untuk mengganggu tumpuan kerajaan Madani. Tidak ada modal lain.


Pengundi atas pagar


Sebenarnya, dalam mana-mana pilihan raya, pengundi atas pagar lebih ramai daripada penyokong tegar parti tertentu. Tumpuan patut diberikan kepada kumpulan ini kerana bukan sahaja mereka tidak taksub kepada mana-mana parti atau ideologi, tetapi pendirian mereka boleh berubah dalam pilihanraya.


Pengundi atas pagar boleh beralih arah jika kerajaan dapat membela nasib mereka dan berlaku adil kepada semua.


Oleh itu, fokus utama wajib diberikan kepada beberapa perkara. Pertama, pemulihan ekonomi yang signifikan. Penyediaan peluang pekerjaan yang lebih banyak perlu disegerakan. Di samping membawa masuk pelabur asing, pertumbuhan sektor dalam negara perlu diberikan sokongan.


Daya cipta (innovation) perlu disemarakkan bagi mencipta pelbagai peluang pekerjaan, khususnya dalam bidang keusahawanan.

Kerajaan Madani perlu menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang memungkinkan bidang keusahawanan berkembang pantas supaya ruang dan peluang perniagaan dapat dicipta dan diperkasa. Begitu juga dengan sektor koperasi.


Kejayaan menghapuskan orang tengah yang berselindung di sebalik persatuan penjaja oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur adalah contoh terbaik. Para penjaja bazar Ramadan hanya perlu membayar sewa tapak sebanyak RM500 sebulan, berbanding dahulu sebanyak RM7,000 hingga RM20,000 untuk satu tapak.


Kejayaan meningkatkan kemajuan ekonomi bukan sekadar mempamerkan angka pertumbuhan 5.1% dan mengukuhkan nilai mata wang, tetapi kejayaan sebenar ialah apabila rakyat dapat menambah pendapatan, meningkatkan daya beli dan tabungan.


Kos sara hidup perlu tindakan


Kedua ialah isu kos sara hidup yang menuntut tindakan segera. Kerajaan Madani perlu lebih peka kepada derita dan sengsara rakyat yang kini menghadapi peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Dr. Bam Al-Haj
Dr. Bam Al-Haj

Selain kawalan terhadap harga barang keperluan harian, tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan pencatutan harga dan penguasaan kartel makanan perlu diteruskan.


Walaupun Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani terlambat setahun menangani ketiadaan beras tempatan di pasaran, sekurang-kurangnya ada sedikit kemajuan.


Kerajaan juga perlu memperbanyakkan lagi program Jualan Rahmah dan Jualan Murah Madani bagi membantu rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 menjimatkan perbelanjaan.


Kenaikan gaji sejak Disember 2024 telah memberikan kelegaan kepada kakitangan awam. Dengan itu, kakitangan awam bukan sahaja patut bersyukur tetapi membalas budi dengan cara bekerja dengan lebih efisien, amanah, berintegriti dan mengelakkan pembaziran, rasuah dan penyelewengan.


Reformasi institusi diperluas


Aspek tatakelola atau "good governance" adalah perkara ketiga yang tidak kurang pentingnya.


Latihan dan kursus, penguatkuasaan peraturan, kebebasan kehakiman dan undang-undang serta pemupukan integriti di kalangan kakitangan awam, GLC dan swasta perlu dilakukan seoptimum mungkin supaya tidak berlaku kelambatan, ketidakcekapan, ketidakadilan, penyelewengan dan pembaziran sumber.


Akta, enakmen dan peraturan lapuk perlu dikaji semula dan diperbaharui supaya lebih efisien manakala institusi kehakiman, polis, imigresen, agensi, jabatan, pejabat daerah dan PBT perlu diterajui oleh orang yang jujur, kompeten dan memihak kepada "the government of the day", serta berkhidmat sepenuhnya untuk rakyat.


Pengembalian semula Akta Parlimen yang diluluskan oleh Dewan Rakyat baru-baru ini merupakan permulaan yang baik.

Pemerkasaan sistem pendidikan


Keempat ialah peningkatan dan pemerkasaan sistem pendidikan negara. Kebolehpasaran graduan IPTA dan IPTS adalah penanda aras yang penting.


Sudah tentulah tuntutan supaya kerajaan dapat meringankan beban rakyat menanggung kos pembiayaan pendidikan adalah juga antara isu yang mencabar dan perlu ditangani sebaik-baiknya.


Antaranya ialah pengurangan dan pelupusan hutang PTPTN. Jika kerajaan Madani berjaya mengurangkan kadar bayaran hutang itu sebanyak 50%, ia mungkin akan memberikan makna kepada pengundi.


Selain menyediakan tenaga kerja profesional dan mahir, IPTA dan IPTS juga perlu fokus untuk melatih dan membimbing usahawan yang mampu berdaya saing pada masa akan datang.


Pendidikan pra-sekolah, rendah dan menengah pula perlu terus menyediakan asas pendidikan jasmani, emosi, rohani dan intelek (jeri) yang berkualiti.


Selain STEM, bidang keusahawanan, sains sosial, kemahiran pelbagai bahasa dan adab perlu diperkasakan sebagai persediaan untuk melahirkan generasi Madani yang berilmu, berketrampilan, beradab, berakhlak mulia dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.


OKU dan warga emas disantuni


Kelima, perhatian kerajaan juga hendaklah diberikan kepada kumpulan rentan, terutama OKU dan warga emas. Masih banyak yang perlu dibereskan. Antaranya ialah menaikkan kadar bantuan, menyediakan takaful perubatan, menambah kemudahan asas, serta peluang latihan dan kerjaya untuk OKU.


Lebih banyak kemudahan dan peluang perlu dicipta untuk warga emas, terutama bagi kumpulan tidak berpencen. Selain inisiatif penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), rumah jagaan warga emas juga perlu diperkasakan melalui insentif, sokongan dan dana yang mencukupi.


Pengukuhan Kerjasama PH-BN-GPS-GRS


Keenam, walaupun ramai yang cuba meleraikan kesepakatan PH-BN dengan pelbagai cara namun itulah tandanya kerjasama antara parti itu teruji dan mantap.


Lihat sahaja bagaimana pilihan raya kecil DUN Nenggiri dan Mahkota. Apabila kekuatan PH dan BN bersatu majoriti kemenangan bertambah besar.


Jika PH-BN benar-benar berpakat, pastilah DUN Ayer Kuning juga akan kekal memihak kepada mereka. 33 Parlimen lagi hampir pasti milik PH-BN jika keduanya bergabung pada PRU16 kelak. Inilah yang digeruni pembangkang. Itu belum masuk ratusan kerusi DUN yang juga bakal menjadi milik PH-BN.


MB Kedah sendiri sudah kecut perut melihat kesepakatan PH dan BN di negeri Jelapang Padi itu. Sebab itu dia marah-marah apabila Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerap turun padang.


Kali ini Kedah goyah. PH-BN mempunyai peluang yang cerah merampas Kedah pada PRU dan PRN akan datang. Kata kuncinya ialah kerjasama.


Begitu juga dengan kerjasama PH-BN dengan GPS dan GRS di Sarawak dan Sabah perlu diperkukuhkan. Kejayaan pelaksanaan MA63 sudah mula menampakkan hasil.


Pendekatan mesra rakyat


PMX nampaknya sudah mula "cool" tidak lagi bernada keras seperti pada peringkat awal menyandang jawatan dahulu. Rata-rata pengkritik beliau mula menerima ucapan lunak dan lembut PMX sejak akhir-akhir ini. Ia menepati kehendak al-Quran yang sering beliau hujahkan dahulu, iaitu:


"Serulah ke jalan Tuhan-mu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhan-mu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah An-Nahl ayat : 125)


Selain ketangkasan PMX di peringkat antarabangsa, keupayaannya mentadbir dan kepetahannya mematahkan hujah pembangkang di Parlimen; kunjungan beliau menyantuni rakyat sambil menyelesaikan masalah setempat perlu diteruskan di semua peringkat, negeri dan parlimen.


Sementara itu, tindakan tegas ke atas pelaku rasuah dan penyelewengan perlu diteruskan "without fear and favour". Sokongan berterusan DYMM Yang DiPertuan Agong turut membantu PMX dan mengukuhkan Kerajaan Madani. Daulat Tuanku.


Menuju sepenggal lagi berkerajaan


Sesungguhnya rakyat Malaysia sudah lama menunggu seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat, telus, berintegriti, adil dan tidak mengamalkan rasuah seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Semoga PMX sihat, cergas, cerdas, kuat dan panjang umur untuk terus berbakti kepada rakyat, negara dan agama. PMX perlu dikekalkan sepenggal lagi untuk terus mengangkat martabat dan harakat negara supaya bukan sahaja maju dan makmur, tetapi mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain.


Inilah yang ditakuti oleh pembangkang. Jika Kerajaan Madani kekal lagi sepenggal, PN pasti akan mereput. Pas pula sudah mula sedar mereka tidak lagi boleh bergantung kepada Bersatu pada PRU16 nanti.


Kesimpulannya, PH khususnya KEADILAN perlu mengukuhkan barisan kepimpinan pusat, negeri dan cabang.


Sudah tentulah Kongres Nasional KEADILAN Mei ini akan menjadi medan penting untuk memilih pemimpin terbaik, bermuhasabah, merapatkan saf dan melakar strategi kemenangan pada PRU16 kelak.


 

Dr Bam Al-Haj merupakan penulis bebas dan ahli NeuroMarketing Strategist.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page