Cadangan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Akmal Nasir dalam Ucapan Dasar Kongres AMK semalam, mahu bendera KEADILAN digunakan sekali lagi sebagai logo Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 seharusnya tidak menimbulkan rasa tidak puas hati dalam gabungan itu.
Ketua Penerangan AMK, Aizuddin Ariffin berkata, sebaliknya pengunaan logo KEADILAN tersebut dilihat sebagai strategi untuk kemenangan sebagaimana terbukti dalam PRU ke 14 lalu.
"Cadangan Akmal adalah bersifat emperikal. Logo KEADILAN telah dikenali umum. Baik di bandar atau luar bandar. Lambang Pakatan Harapan sebaliknya tidak 'familiar' kepada segelintir rakyat, menunjukkan bahawa cadangan yang dikemukakan oleh YB Akmal ada asasnya.
"Saya melihat penggunaan logo KEADILAN ini adalah satu strategi untuk PH untuk menawan semula Putrajaya dan bukannya stigma kepada perpecahan.
"Sebarang cadangan untuk memenangkan PH dalam PRU 15 harus diberi ruang untuk dianalisa sebaik mungkin demi mengukuhkan kesepakatan parti-parti dalam PH," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Aizuddin tidak bersetuju dengan pendirian Ketua DAPSY Howard Lee yang menyifatkan cadangan pengunaan logo berkenaan sebagai membunuh kesepakatan dan mengundang perpecahan dalam PH.
"Hal itu suatu yang terpesong dan hanya spekulasi semata-mata yang dibuat oleh YB Howard
"Tidak timbul isu bahawa Ketua AMK Malaysia cuba mengkhianati penyokong PH dan komponen PH. Saya berbesar hati sekiranya Howard tidak bersifat prejudis terhadap cadangan yang dikemukakan itu," katanya lagi.
Comments