Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kereta elektrik (EV) pertama Proton, e.MAS 7 dipilih sebagai kenderaan rasmi bagi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.
Perdana Menteri berkata langkah itu sebagai tanda sokongan kerajaan kepada Proton selain berharap ia menjadikan Malaysia sebagai contoh dalam mempromosikan pembangunan EV dan komitmen pelepasan karbon sifar bersih rantau ini.
"Proton e.MAS 7 bukan sahaja sebuah kenderaan, tetapi ia mencerminkan salah satu tunjang ekonomi MADANI dari sudut EV dan keupayaan kita menjana perubahan, meninggalkan industri karbon lama kepada yang baharu," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran e.MAS 7 di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai pengeluar kereta nasional, Proton perlu memanfaatkan peranannya dalam industri automotif tempatan melalui projek EV ini.
"Dalam masa terdekat, saya juga gembira melihat kereta ini akan dibina di Tanjung Malim, menaikkan taraf vendor Malaysia melalui pemindahan teknologi dan kemahiran baharu yang berkaitan dengan EV.
"Untuk memastikan EV ini dipercayai oleh rakyat, Proton telah menjelajah seluruh negara, membawa kenderaan ini ke setiap negeri sebelum pelancaran rasmi hari ini.
"Saya ingin memuji keluarga Proton atas inisiatif ini, belajar daripada pengalaman lalu, dan mempromosikan bukan sahaja kereta moden yang canggih, tetapi juga kereta yang mesra alam," katanya.
Sambil meminta Proton menjadikan Dasar Automotif Nasional 2020 sebagai rujukan, syarikat dalam industri automotif di negara ini bukan hanya perlu menjual kenderaan malah menawarkan peluang pelaburan dan pekerjaan melalui penubuhan ekosistem yang holistik.
Jelasnya kerajaan pula bertanggungjawab menyediakan dasar mesra industri dan insentif yang menguntungkan negara serta industri.
"Namun, lebih penting adalah memastikan infrastruktur mencukupi seperti lapangan terbang, pelabuhan, lebuh raya, dan ekosistem menyeluruh.
"Cabaran utama anda, dan juga cabaran kami, adalah di bahagian bekalan. Kita mesti memastikan adanya kapasiti dan dasar yang jelas untuk menggalakkan pengeluaran tempatan serta menyokong industri, vendor tempatan, termasuk Bumiputera," ujarnya.