Proses pemilihan telus, adil perlu sebagai parti reformasi - Nik Nazmi
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Proses yang adil dan telus dalam Pemilihan KEADILAN 2025 amat perlu bagi sebuah parti reformasi seperti Parti Keadilan Rakyat.
Hal itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad selepas usai pemilihan peringkat cabang seluruh Wilayah Persekutuan semalam.
"Berhubung keputusan pemilihan KEADILAN Cabang Setiawangsa yang telah diumumkan, saya percaya bahawa proses pemilihan yang telus dan adil adalah asas kekuatan KEADILAN sebagai parti reformasi.
"Namun begitu, kami percaya terdapat beberapa isu yang wajar dibangkitkan dan akan menggunakan saluran serta proses parti yang sewajarnya untuk menyuarakan perkara tersebut.
"Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan pemilihan parti dijalankan dengan integriti dan keadilan," katanya dalam muat naik di Facebook.
Menurut Nik Nazmi lagi, beliau akan merayu berhubung kekalahannya kepada Datuk Afdlin Shauki Aksan semalam.
"Kami akan membiarkan proses rayuan berjalan mengikut peraturan dan ruang yang ditetapkan oleh parti. Saya kekal komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan perjuangan KEADILAN di semua peringkat," katanya lagi.
Dalam pada itu Nik Nazmi juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyokong, jentera, dan ahli parti yang telah bersama-sama berkempen serta memberikan sokongan sepanjang proses pemilihan.
Dalam pemilihan peringkat cabang semalam Nik Nazmi mendapat 631 undi dan tewas kepada pencabarnya Afdlin Shauki yang mendapat sebanyak 563 undi.
Σχόλια