
Projek pembangunan Waterfront (Fasa 1) di Labuan dijangka bakal menjana ekonomi dan meningkatkan daya tarikan pelancong di wilayah itu.
Bakal dibangunkan dengan peruntukan RM38 juta, ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merealisasikan visi Chase City di bawah Rancangan Tempatan Labuan 2040 yang sejajar dengan Pelan Tindakan Pembangunan Labuan 2030.
Dipetik laporan media, projek itu dibiayai di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Perbadanan Labuan (LC), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama-sama persatuan berkaitan pelancongan dan firma swasta.
Ia menumpukan kepada pelancongan pintar, konsep bandar hijau dan selamat, rekreasi awam, dan kemampanan sosio-ekonomi.
Sementara itu menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, projek itu akan merangsang pelaburan, merancakkan aktiviti ekonomi dan mewujudkan kluster ekonomi yang seterusnya dapat memperkukuh sektor pelancongan.
"Projek ini merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan strategik Labuan yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Hala Tuju Wilayah Persekutuan awal tahun ini.
"Sekiranya direalisasikan, projek ini dijangka bukan sahaja merancakkan industri pelancongan, malah mampu menarik lebih banyak pelaburan serta memberi manfaat kepada ekonomi tempatan," katanya dipetik.
Terdahulu Dr Zaliha melawat Tapak Cadangan Waterfront Labuan di kawasan Jeti Pasar Lama, Pusat Bandar Labuan
Beliau kemudian diberi taklimat mengenai rancangan pembangunannya oleh pemangku pengarah Jabatan Perancangan dan Kawalan Bangunan Labuan Ag Aizal Ag Anak.
Menurut taklimat itu, cadangan pembangunan tersebut termasuk ruang rekreasi, pengalaman gastronomi (makanan, budaya dan tradisi), tempat untuk perhimpunan sosial dan acara awam, bazar makanan, aktiviti sukan laut, persiaran, penambahbaikan pencahayaan estetik, perkhidmatan teksi air dan kemudahan tempat letak kereta.
Aspek utama projek itu adalah untuk meningkat tarikan hiburan malam di kawasan tersebut termasuk pasar lambak Labuan/Pasar uptown, denai malam, denai melihat bintang, restoran malam tepi laut dan bistro.
Comments