Projek tebatan banjir RM11.8 bilion
- Redzuan Shamsudin
- Oct 13, 2023
- 1 min read

Kerajaan dalam usaha mengelakkan banjir yang merosakkan harta benda rakyat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM11.8 bilion bagi projek tebatan banjir.
Projek tersebut berskala besar bagi memelihara harta benda rakyat daripada dimusnahkan banjir yang semakin buruk akibat perubahan iklim.
"Tahun hadapan, sejumlah 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi akan mula dilaksanakan dengan kos melibatkan RM11.8 bilion," kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024, petang tadi.
Projek yang terlibat ialah Lembangan Sungai Pahang, Pahang; Sungai Langat Fasa 2, Selangor; Sungai Jelai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah; Kuching Fasa 2, Sarawak; Baling Fasa 2, Kedah; dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan Fasa 2, Kelantan.
Manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku agensi utama bagi persiapan banjir diperuntukkan
sebanyak RM300 juta.
"Ini termasuklah RM100 juta yang bakal disalurkan segera usai Pembentangan ini menggunakan peruntukan 2023 bagi
memastikan kelancaran persiapan banjir hujung tahun ini.
"Kerajaan bersetuju meningkatkan peruntukan di bawah Tabung Bantuan Bencana Negara tahun hadapan kepada 200 juta
ringgit ketimbang 100 juta ringgit tahun ini.
"NADMA juga akan mempertingkatkan tahap keselesaan pusat pemindahan bagi menjamin kebajikan mangsa. Antaranya
termasuklah menyediakan sembilan Pusat Pemindahan Kekal,membaik pulih tandas, bilik mandi dan stor di 1,500 Pusat
Pemindahan Sementera serta menyewa tandas-tandas bergerak," katanya lagi.
Commentaires