Oleh: Akmal Manaf
Mangsa kebakaran rumah panjang Rh Langat, Nganga Majang dekat Tinjar, Sarawak meminta pihak berkuasa menyiasat projek pembinaan rumah panjang baharu yang masih belum disiapkan meskipun peruntukan sebanyak RM1.47 juta telah disalurkan.
Menjadi perantara dalam isu itu, Ahli Dewan Negara Senator Abun Sui Anyit berkata, pihaknya telah didatangi penduduk terjejas mengadu mengenai wang bantuan kebakaran pada tahun 2018 untuk 21 pintu rumah panjang namun rumah gantian yang dijanjikan masih tidak diperolehi.
"Wang RM1.47 juta tersebut sepatutnya dibahagikan kepada 21 ketua keluarga untuk membina rumah panjang baharu.
"Menurut salah seorang yang datang, dikenali sebagai Puan Sulie, cek peruntukan RM1,470,000 itu telah dimasukkan ke dalam akaun JKKK Rumah Langat Nanga Majang pada Disember 2021 dan sepatutnya dibahagi antara 21 ketua keluarga.
"Tetapi Tuai Rumah tidak membahagikan wang berkenaan kepada ketua keluarga kerana beliau memilih untuk membina sendiri rumah panjang baharu untuk semua penduduk terjejas," kata beliau menerusi satu kenyataan.
Bagaimanapun setakat hari ini, Abun berkata, rumah panjang yang dijanjikan belum siap dan hanya mempunyai tiang serta bumbung.
Sejak November 2022, ujarnya, tiada perubahan dapat dilihat pada struktur rumah panjang tersebut malah terbengkalai sehingga ke hari ini.
"Tidak puas hati dengan apa yang berlaku, wakil-wakil mangsa kebakaran meminta bantuan saya membawa mereka mengadu perkara ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya agar ianya dapat disiasat dengan segera.
"Wakil penduduk turut memaklumkan kepada saya bahawa Pejabat Daerah Beluru pernah mencadangkan agar wang bantuan tersebut dibahagikan kepada 21 ketua keluarga, namun tidak diperolehi setakat hari ini," katanya lagi.
Dalam pada itu, Abun yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat dan Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang menyifatkan, dengan jumlah peruntukan sedemikian rumah baharu itu sepatutnya telah siap dan boleh diduduki.
Katanya, wakil penduduk merayu agar rumah mereka disiapkan dengan kadar segera atau baki wang dibahagikan kepada mereka agar rumah yang sesuai boleh dibina.
"Setakat hari ini, ramai penduduk mangsa kebakaran hanya tinggal di pondok sementara atau rumah saudara mara, sementara menunggu rumah panjang mereka disiapkan," katanya lagi.
Comments