Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Komunikasi optimis projek rintis sistem pembayaran tanpa tunai sekolah mampu membawa budaya baharu selaras kemajuan teknologi terkini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, usaha sama melibatkan Kementerian Pendidikan (KKM) dan syarikat data mudah alih U Mobile Sdn Bhd akan bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bandaraya, SK Seri Hartamas, SK Bukit Damansara dan SMK Seri Hartamas.
"Hasratnya ialah menggunakan teknologi digital bagi membantu para pelajar ‘go cashless’ di mana mereka boleh pergi ke kantin membeli makanan dan ibu bapa juga boleh memasukkan sejumlah wang dalam perbelanjaan anak-anak mereka
"Selain itu, ibu bapa juga boleh melihat secara real-time (masa nyata) apakah jenis perbelanjaan yang dibelanjakan anak-anak mereka," katanya dalam sidang media Pelancaran U Mobile Digital School, di Bangsar, hari ini.
Selain itu, ketika ditanya mengenai aduan masalah kes seksual kanak-kanak, pornografi dan penipuan online, Fahmi berkata, pihaknya meminta syarikat aplikasi Whatsapp dan Telegram menangani masalah berkenaan sebelum Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan.
"Banyak aduan (orang ramai) diterima aplikasi dalam media sosial dibuat untuk tujuan pornografi, dadah dan kegiatan scammer.
"Sepatutnya mereka perlu lebih bertanggungjawab dan sekiranya enggan, kita akan pastikan mereka akur dengan undang-undang negara.
"Perkara ini saya serahkan MCMC untuk mengambil apa-apa tindakan yang wajar supaya internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga," ujarnya lagi.
Comments