Projek Residensi Rakyat Harmoni MADANI bukti kerajaan bela golongan marhaen
- Suara Keadilan
- Feb 15
- 1 min read

Projek Program Residensi Rakyat Harmoni MADANI Bestari Jaya yang dilancarkan hari ini menjadi bukti Kerajaan Madani membela golongan berpendapatan rendah atau rakyat marhaen.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan dalam ucapan pecah tanah pelancaran projek berkenaan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan aspek pendidikan, kesihatan dan perumahan rakyat, malah ianya menjadi antara agenda terpenting yang perlu dipenuhi.
"Kerajaan tidak berlapang dada dan berada dalam zon selesa, sebaliknya usaha membantu pihak dan golongan yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, masih perlu terus dilakukan dan dilipatgandakan lagi.
"Program hari ini adalah contoh bahawa nasib rakyat yang memerlukan, seperti pekerja estet, tetap menjadi jadual penting kerajaan bagi menaiktaraf kehidupan mereka ke tahap lebih baik dan selesa lagi.
"Justeru, saya percaya prakarsa ini boleh diperluaskan lagi dan menjadi contoh kepada projek perumahan lain dalam mengangkat serta menjulang kebajikan rakyat negara ini," katanya dalam muat naik di Facebook selepas hadir ke majlis tersebut.

Projek PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya merupakan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri Selangor, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB).
Kos pembangunan keseluruhan berjumlah RM75 juta, melibatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta dan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM35 juta.
Tapak projek iaitu tanah berkeluasan 20 ekar disediakan secara percuma oleh Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB) manakala PR1MA dilantik sebagai agensi pelaksana bertanggungjawab merealisasikan projek berkenaan.
Comments