Oleh: Akmal Manaf
Projek Transit Aliran Ringan (LRT) menjadi cita cita Kerajaan Negeri Pulau Pinang sewaktu masih bergelar pembangkang dan kini diberi peruntukan penuh oleh Kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan pembinaannya.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, pada Mac tahun lalu Kerajaan Persekutuan telah bersetuju mengambil alih pelaksanaan Projek LRT Laluan Mutiara daripada Kerajaan Pulau Pinang serta telah melantik MRT Corp sebagai pemaju projek dan pemilik aset setelah mendapat kelulusan Kabinet.
Katanya, selepas pengambilalihan projek berkenaan, Kerajaan Persekutuan telah menawarkan kontrak tersebut kepada SRS Consortium melalui mekanisme 'Single Sourcing Request-for-proposal'.
''Tawaran ini berdasarkan permintaan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, yang telah melantik SRS Consortium sebagai Project Delivery Partner (PDP) untuk Penang Transport Master Plan (PTMP), merangkumi LRT Laluan Mutiara, melalui tender terbuka pada Ogos 2015.
''Keputusan Kabinet bukan sekadar satu komitmen pembiayaan tetapi merupakan penegasan (affirmation) keazaman Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Pulau Pinang mendapat manfaat yang pelbagai menerusi sokongan kewangan dan teknikal diperlukan untuk melaksanakan projek cukup bermakna ini.
''Ini mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan Pulau Pinang demi kesejahteraan rakyat,'' katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi struktur projek baharu itu, Anthony Loke menjelaskan, MRT Corp akan memegang peranan sebagai Pengurus Projek, Pemaju Projek serta Pemilik Aset LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang.
''Ini bermakna, MRT Corp akan mengurus sepenuhnya pelaksanaan projek dan melantik kontraktor utama bagi setiap pakej tender, seperti yang kita saksikan pada hari ini menerusi penganugerahan Kontrak Sivil Utama (CMC) bagi Segmen 1.
''Pendekatan ini memberi MRT Corp lebih kawalan dalam pelaksanaan projek, sekaligus mempertingkatkan koordinasi, memudahkan pengawasan kualiti serta memastikan setiap keputusan dibuat dengan berkesan,'' ujarnya.
Selain itu, Kementerian Pengangkutan juga komited dalam mendukung agenda Bumiputera yang memastikan penyertaan sekurang-kurangnya 40% syarikat Bumiputera bagi merealisasikan peluang ekonomi diagihkan secara adil dan saksama.
"Kami juga memberi keutamaan kepada syarikat syarikat yang berpusat di Pulau Pinang dalam usaha untuk
memperkukuh rantaian bekalan tempatan," kata Anthony Loke lagi.
Untuk rekod, Projek Laluan LRT Mutiara bakal merangkumi jarak sejauh 29.5 kilometer (km) dan mempunyai 21 stesen terletak secara strategik, termasuk satu stesen provisional atau sementara di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang (PSR-A).
Projek tersebut dijangka mula beroperasi pada Disember 2031.
Comentarios