top of page

Projek "Israel Raya" jadi kenyataan jika umat Islam tidak bersatu



Umat Islam diingatkan bahawa perjuangan membela rakyat Palestin akan menjadi lebih sukar sekiranya mereka tidak bersatu-padu menghalang Israel daripada memperluaskan kekuasaan mereka hingga melangkaui ke tanah Arab yang lain.


Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, negara-negara Arab tidak bersedia membelanjakan berbilion dolar sebagaimana dilakukan Amerika Syarikat (AS) hingga mengaku Gaza adalah miliknya kerana telah menyalurkan dana membantu Israel menyerang wilayah Palestin itu.


"Kita boleh lihat bahawa negara Arab sanggup berbelanja berbilion dolar untuk menjatuhkan Bashar Assad (bekas Presiden Syria) dengan bekerjasama dengan kumpulan pemberontak.


"Malah, Hillary Clinton (bekas Setiausaha Negara AS) sendiri mengakui bahawa AS telah membiayai ISIS. Dan apakah hasilnya? Kini, perjuangan Palestin menjadi lebih sukar kerana mereka tidak lagi boleh bergantung kepada Syria. Sementara itu, projek ‘Israel Raya’ semakin hampir menjadi kenyataan," kata beliau dalam kenyataannya hari ini.


Kenyataan itu dikeluarkan menjelang dua minggu Jumaat terakhir Ramadan yang menjadi tarikh simbolik sambutan Hari Al-Quds Sedunia.


Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, AS dan negara-negara Eropah tetap menyokong Israel dengan kuat malah sanggup mengabaikan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semata-mata untuk melindungi Israel.


Jelasnya rejim Zionis berjaya memperluaskan wilayah mereka melalui peperangan pada 1956, 1967, 1973 dan 1982 dengan sokongan negara-negara berkuasa seperti AS dan Eropah.


"Isunya bukan kekuatan Israel semata-mata. Masalah sebenar ialah negara-negara Arab dan umat Islam tidak bersungguh-sungguh dalam menyokong perjuangan Palestin.


"Palestin tidak pernah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap Yahudi, jadi mengapa rakyat Palestin kini berdepan dengan pembunuhan beramai-ramai oleh Yahudi Zionis?" katanya.


Ironinya beliau berkata negara miskin dan dikenakan sekatan seperti Iran, Iraq dan Yaman serta beberapa kumpulan tertentu mengambil peduli soal Palestin dan memberikan bantuan dalam menghadapi kekejaman Israel terutamanya selepas serangan 7 Oktober 2023.

"Israel menyerang rakyat di Gaza dan Tebing Barat dengan kejam, membunuh kira-kira 50,000 orang, termasuk kanak-kanak, wanita, dan warga tua, serta mencederakan lebih 100,000 orang lagi," ujarnya.


Jelas beliau, isu yang lebih besar ialah kelemahan negara-negara Arab sendiri kerana ketika rakyat Palestin menderita di Gaza, terdapat negara tersebut masih menjalinkan hubungan perniagaan dengan Israel malah ada juga negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang bermajoriti Muslim membekalkan minyak kepada Israel.


Namun katanya sejak kebelakangan ini, rakyat di Eropah mula menunjukkan simpati terhadap Palestin.


"Protes besar-besaran di Eropah telah menyebabkan beberapa negara mula mempertimbangkan semula pendirian mereka, sama ada menyokong penyelesaian dua negara atau sekurang-kurangnya mendesak agar keganasan dan pembunuhan beramai-ramai di Palestin dihentikan," katanya.


Namun katanya negara-negara Muslim dan Arab masih keliru tentang arah tuju mereka.


"Jadi, daripada terus-menerus menekankan kezaliman Israel dan sokongan Amerika, kita sepatutnya terus bertanya, di manakah kesatuan umat Islam, terutamanya melalui organisasi seperti OIC, Liga Arab, dan negara-negara majoriti Muslim lain, dalam menyokong Palestin?


"Saya amat yakin rakyat Palestin akan berjaya mendapatkan kembali tanah air mereka dan hak mereka untuk pulang ke tanah kelahiran mereka, hasil daripada kesedaran yang semakin meningkat serta kesatuan dalam kalangan umat Islam dan masyarakat dunia.


"Marilah kita terus menyokong perjuangan rakyat Palestin," katanya.

Comentários


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page