Oleh: Dr Mohd Fauzi Fadzil
ULASAN: Imej Kerajaan Negeri Selangor yang telah diterima baik sebagai telus oleh rakyat cuba dicalarkan oleh sesetengah pihak melalui tuduhan tidak berasas membabitkan isu penganugerahan kontrak yang terkait suami kepada YB Hannah Yeoh. Perkara ini telah dijelaskan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor iaitu YB Ng Sze Han bahawa Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (syarikat yang terkait dengan suami kepada YB Hannah Yeoh) adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT).
Penganugerahan kontrak diberikan kepada dua syarikat terbabit memandangkan hanya mereka sahaja di Malaysia yang memiliki kepakaran dalam projek itu dan memiliki lesen untuk mengendalikan kenderaan berkenaan. Penganugerahan juga diberikan dengan syarat supaya kedua-dua syarikat berkenaan perlu melalui proses pembuktian konsep selama sembilan bulan, jika benar DRT mampu mengurangkan operasi berbanding perkhidmatan bas Smart Selangor maka barulah Kerajaan Negeri Selangor mempertimbangkan pemberian kontrak berkenaan.
Kontrak belum diberikan
Isu pokoknya yang perlu difahami adalah kontrak pengangkutan bagi menggantikan bas Smart Selangor masih belum diberikan kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, justeru tiada sebarang tindakan yang melanggar tatakelola telah dilakukan oleh mana-mana pihak.
Kerajaan Negeri Selangor masih dalam proses penelitian konsep DRT yang cuba diperkenalkan, pada tahun 2023. Projek rintis untuk aplikasi DRT telah berlangsung di empat kawasan terpilih iaitu Puchong, Gombak, Ampang dan Subang Jaya. Kerajaan Negeri Selangor bercadang memperluaskan aplikasi projek rintis DRT kepada 8 kawasan tambahan menjelang tahun 2024, laporan yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Selangor 2023 menunjukkan respon positif dan tidak ada perkara yang menghalang supaya DRT diperluaskan di Negeri Selangor memandangkan pengendali projek tersebut telah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Tuduhan beberapa pihak berkenaan isu penganugerahan kontrak yang terkait dengan suami kepada YB Hannah Yeoh berkisar persoalan mengapa pemberiaan kontrak DRT tidak dilaksanakan secara tender terbuka? Perbuatan menganugerahkan kontrak tersebut secara terus kepada dua syarikat terbabit (salahsatu daripadanya ada kaitan dengan Menteri Kerajaan Madani) dilihat sebagai melanggar prinsip yang diperjuangkan oleh PMX berkenaan tatakelola yang telus.
Dua syarikat memiliki kepakaran, lesen
Persoalan ini telah dijawab dari awal bahawa hanya dua syarikat terbabit yang mempunyai kepakaran dan lesen bagi mengenalikan DRT di Malaysia. Perkara ini telah dipersetujui oleh Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa ucapan beliau berkenaan penganugerahan kontrak secara terus kepada bidang kepakaran yang khusus.
Pemberian kontrak secara terus pernah dilakukan oleh Kerajaan Madani melibatkan sektor perubatan (Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd) dan semikonduktor (Kelington Group Bhd), namun ia mesti melibatkan bidang khusus dengan kepakaran yang terhad.
Malah PMX secara terbuka telah mengeluarkan kenyataan untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan, jika benar wujud elemen salahlaku atau rasuah terkait penganugerahan kontrak DRT maka ia adalah di bawah tanggungjawab pihak berkuasa untuk meneruskan sebarang tindakan undang-undang.
Pihak tidak bertangungjawab yang cemburukan Kerajaan Negeri Selangor atas kejayaan membawa konsep futuristik dalam pentadbirannya cuba membawa isu yang bersifat tetek bengek demi mengalihkan perhatian masyarakat. Namun kejayaan sebenar hasil aplikasi DRT tidak pula dibincangkan secara meluas, DRT yang dibangunkan di kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit mampu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam utama seperti tren dan bas.
Negeri Selangor pada masa ini adalah satu-satunya kerajaan negeri di Malaysia yang berusaha mengaplikasikan konsep tersebut, jika ia berjaya maka jangkauan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat Negeri Selangor akan bertambah mudah dan kerajaan Negeri Selangor akan mampu menjimatkan lebih banyak perbelanjaan operasi untuk pengangkutan awam.
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor
Opmerkingen