Program Susu Percuma di Petaling Jaya, atasi kekurangan nutrisi kanak kanak
- Suara Keadilan
- Dec 11, 2024
- 2 min read

Pelancaran program Pemakanan Sihat dan Nutrisi Kanak-Kanak di Desa Mentari, Petaling Jaya kelmarin anjuran Parlimen Petaling Jaya, Dutch Lady Milk Industries Berhad dan Allegra Technologies Sdn Bhd membuka lembaran kerjasama syarikat swasta-kerajaan bagi menyediakan pemakanan yang membantu kanak kanak agar lebih bernutrisi.
Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, MoU yang dimeterai pada 8 Disember lalu merupakan permulaan baik perkongsian swasta-kerajaan dalam menangani kekurangan nutrisi dalam kalaangan kanak kanak bandar.
"Program bertujuan untuk menyediakan susu berkhasiat secara percuma dan mengatasi masalah terbantut yang sering terjadi dalam kalangan komuniti B40.
"Pelaksanaan program ini dijadualkan akan berjalan selama satu tahun, dan melibatkan 100 kanak-kanak yang berdaftar, berumur 1 hingga 6 tahun dari komuniti Blok 5 dan 6 Desa Mentari.
"Pelaksanaannya cukup menarik dan interaktif di mana Teknologi Mesin Layan Diri AI atau ‘Vending Machine’ digunakan sebagai medium utama pemberian susu secara berkala.
"Ibu bapa akan menerima kod QR khas yang membolehkan mereka menebus hingga 3 botol susu setiap minggu bagi setiap kanak-kanak," kata beliau yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN dalam kenyataan.
Tambah Chean Chung, laporan UNICEF menunjukkan bahawa 1 daripada 5 kanak-kanak terbantut pertumbuhan di negara ini, dengan keseluruhan kira-kira 22% kanak-kanak di bawah umur 5 tahun mengalami pertumbuhan terbantut.
Katanya, sebagai wakil rakyat beliau amat prihatin terhadap akses masyarakat terhadap makanan yang berzat dan bernutrisi.
"Saya faham terdapat cabaran ekonomi dan kos harga barang yang tinggi yang menjadi salah satu halangan dalam memastikan kanak-kanak mendapat nutrisi yang konsisten dan mencukupi.
"Justeru, saya amat berharap program susu percuma ini akan menjadi langkah permulaan dalam usaha membantu memenuhi keperluan nutrisi harian kanak-kanak, dan berharap ianya diperluaskan ke komuniti lain agar lebih ramai kanak-kanak mendapat manfaat," katanya lagi.
Tegas Chean Chung, masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak merupakan salah satu tanggungjawab penting dalam pembangunan intelektual rakyat.
Komitmen tersebut, katanya, harus digalas selari dengan usaha kerajaan bagi memastikan pertumbuhan dan kesihatan generasi muda agar diberi perhatian dan memastikan tiada seorang kanak-kanak pun yang tercicir.
Comments