Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada Isnin mengumumkan penambahbaikan kepada Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).
PETRA menerusi satu kenyataan memaklumkan, program itu akan dibuka untuk pengguna elektrik kategori pertanian bagi memanfaatkan sistem solar fotovolta (PV) sekaligus menyokong inisiatif meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Kementerian itu turut memaklumkan pihaknya sentiasa komited memastikan pelaksanaan inisiatif tenaga boleh baharu (TBB).
Justeru, program pemasangan sistem solar di bumbung bangunan akan dilaksanakan secara menyeluruh serta menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70 peratus campuran kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik negara menjelang 2050
Sehubungan itu PETRA memaklumkan, kuota di bawah kategori NEM Rakyat akan ditingkatkan sebanyak 150 megawatt (MW) kepada 600MW supaya lebih ramai pengguna domestik dapat memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.
Manakala kuota di bawah kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditambah sebanyak 300MW kepada 1,700MW.
"Untuk menggalakkan lagi pemasangan sistem solar PV di bumbung premis bangunan, PETRA telah menambah baik garis panduan pelaksanaan program pemasangan sistem solar di bumbung premis bangunan di bawah Program NEM.
"Penambahbaikan ini akan membolehkan lebih banyak ruang bumbung premis bangunan dimanfaatkan untuk pemasangan sistem solar PV.
"Kesemua kuota di bawah Program NEM ini adalah terbuka untuk permohonan oleh pengguna elektrik yang berminat sehingga 30 Jun 2025 atau sehingga kesemua kuota NEM habis diagihkan, yang mana terdahulu," ujarnya.
Pada masa sama, pemberian rebat pemasangan sistem solar sehingga RM4,000 kepada pengguna domestik di bawah Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (SolaRIS) akan dilanjutkan sehingga 30 April 2025 tertakluk kepada terma dan syarat kelayakan yang telah ditetapkan.
Komentar