
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Kuala Pilah dan Pejabat DUN Pilah menganjurkan program isian minyak motorsikal percuma sempena Hari Malaysia, kelmarin.
Menurut Timbalan Ketua AMK Kuala Pilah, Sofiah Hanim Adnan, program berkenaan selain memberi minyak percuma kepada penduduk sekitar telah berjaya mengumpul 250 peserta untuk berkonvoi pada sebelah malamnya bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia di Dataran Melang, Kuala Pilah.
"Program ini juga merupakan iringan untuk program Sambutan Hari Malaysia Pakatan Harapan (PH) di Dataran Melang yang dihadiri pimpinan-pimpinan PH seperti Presiden UPKO, Presiden AMANAH, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
"Mereka yang menyertai program minyak motor percuma ini beramai ramai ke Dataran Melang pada sebelah malamnya.
"Penglibatan dari penduduk Kuala Pilah dianggarkan sekitar 100 peserta, ditambah dengan peserta-peserta dari cabang selain Kuala Pilah yang dianggarkan 150 peserta, menjadikan jumlah peserta dalam 250 orang," katanya.

Manakala Ketua AMK Kuala Pilah, Shaliashaziq Mohd Sahar pula berkata, penganjuran program tersebut telah berjaya menyatukan warga Kuala Pilah untuk bersama sama menunjukkan semangat cintakan tanah air.
"Program seperti ini dapat mengumpulkan dan menyatukan warga Kuala Pilah tidak kira usia dalam memupuk semangat patriotik.
"AMK selain dapat memberi sumbangan minyak percuma, saya berpuas hati dengan sambutan yang amat memberansangkan," katanya.
Comments