Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Sembilan akan meneruskan inisiatif Jualan Nismilan Prihatin bagi membantu rakyat negeri itu mendapatkan pelbagai barangan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata program itu yang dilaksana sejak 2022 telah mendapat sambutan menggalakkan dan sebanyak RM2 juta bakal diperuntukkan bagi meneruskan program itu bagi tahun hadapan.
"Kerajaan negeri mengambil cakna akan suara keluh kesah rakyat berkaitan kos sara hidup.
"Justeru itu, kita bersetuju meneruskan Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin ini di setiap kawasan DUN dengan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menjayakannya pada tahun hadapan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Program jualan itu mendapat kerjasama agensi seperti Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
Ia menawarkan barang-barang keperluan asas seperti ayam, telur, minyak masak, sayur-sayuran dan daging pada harga murah sehingga 30 peratus lebih rendah dari harga pasaran.
Aminuddin sementara itu turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat menjayakan program tersebut.
"Saya amat terharu dengan kesudian kakitangan kerajaan dan sukarelawan yang sanggup berkorban tenaga menyembelih ayam, memproses, membungkus dan menjual barangan setiap minggu di tujuh lokasi di seluruh Negeri Sembilan.
"Hanya Allah yang layak membalas kebaikan tuan puan semua atas usaha murni ini," kata ADUN Sikamat itu lagi.
Comentarios