Program Felo KEADILAN yang dilancarkan semalam oleh Timbalan Presiden Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menjadi wadah melatih kepimpinan muda KEADILAN menimba pengalaman dan pengetahuan.
Menurut Naib Presiden KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad, program yang akan bermula pada Julai ini bakal mendedahkan pemimpin muda kepada hala tuju parti, asas kepimpinan dalam masyarakat, penggubalan dasar, aktiviti lapangan di peringkat akar umbi dan pendedahan modul pendidikan politik.
"Kalau kita lihat KEADILAN ada sejarah atau track record yang baik dalam kita membangunkan kepimpinan baharu.
"Kalau kita lihat timbalan presiden saudara Rafizi, beliau berumur 47 tahun, kalau naib presiden kita tengok Amirudin Shari 44, saya umur 41, kemudian Lih Kang 43 tahun, Ketua Penerangan Fahmi Fadzil 42 tahun. Nurul Izzah (naib presiden) 44.
"Ini satu perkara yang sangat baik dari segi kepimpinan parti. Malah kalau hari ini Ahli Parlimen termuda daripada 4 orang, 3 dari KEADILAN.
"Dalam KEADILAN kita terus melahirkan kepimpinan muda. Tetapi kita tidak ambil mudah dalam membangunkan kepimpinan parti. Kalau dulu sebahagiannya bidan terjun. Kita masuk apabila kekurangan calon dalam parti, kita dipaksa bertanding
"Hari ini kita telah memerintah maka kita lihat mereka yang berminat nak jadi calon sangat ramai," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, tengah hari tadi.
Menurut Nik Nazmi, Felo KEADILAN bakal menjadi satu jambatan di antara mereka yang berminat, tidak kira profesional atau aktivis dan mereka akan diberi pendedahan dengan realiti sebagai ahli politik berwibawa.
"Ini bukan hanya program latihan tetapi platform untuk memberdayakan individu menjadi pemacu perubahan positif dalam komuniti masing masing.
"Kita akan ada satu pool untuk melihat siapa nak jadi calon parlimen, ADUN, Ahli Majlis dan banyak hirarki pimpinan masyarakat.
"Ia juga untuk menerapkan nilai penting seperti integriti dan politik khidmat kepada rakyat merentas kaum," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu lagi, calon yang layak akan ditapis melalui satu proses penilaian dan ditemuramah untuk jadi Felo KEADILAN.
Calon mestilah anak muda berumur 35 tahun ke bawah, namun masih boleh dipertimbangkan kepada yang telah berumur 40 tahun. Manakala tempoh kursus akan diadakan selama 3 bulan secara atas talian dan fizikal.
"Kriteria, sama ada mereka ada minimum ijazah sarjana muda atau pengalaman dalam aktivisme dalam sebarang disiplin. Kalau tak ada ijazah, dia mesti ahli kesatuan sekerja, dakwah, hak asasi manusia, dia boleh turut serta
"Sekurang kurangnya 3 - 5 tahun pengalaman kerja dalam sebarang bidang," katanya lagi.
Anggota atau bukan anggota parti yang berminat boleh memohon dengan melayari felokeadilan.my dan mengisi borang. Tarikh tutup pengambilan adalah pada 31 Mei dan calon calon akan dipilih oleh panel yang dilantik.
Opmerkingen