Oleh: Ahmad Saifullah Razali
ULASAN: Deepavali atau Festival Cahaya adalah perayaan yang sangat bermakna bagi masyarakat India di Malaysia. Sempena sambutan ini pada tahun 2024 KEADILAN Pahang telah melaksanakan pelbagai program kebajikan dan bantuan untuk menghargai sumbangan masyarakat India, sekaligus memupuk semangat perpaduan dalam kalangan semua kaum.
Sumbangan Bakul Makanan
Dengan sokongan Pejabat Perdana Menteri berserta dengan NGO di Pahang, Pengerusi KEADILAN Pahang, Rizal Jamin telah menghulurkan bantuan lebih 800 bakul makanan kepada masyarakat India di Pahang untuk diagihkan ke semua daerah di Pahang.
Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan setiap keluarga dapat merayakan Deepavali dengan penuh keceriaan. Rizal menegaskan program ini adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan MADANI yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap golongan yang memerlukan, serta usaha memperkukuh hubungan antara pelbagai kaum di negeri ini.
Penyampaian baucar pasaraya
Dalam satu lagi inisiatif, Rizal mengiringi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi untuk menyampaikan baucar Pasaraya TMG bernilai RM200 kepada 105 masyarakat India yang tidak berkemampuan di Indera Mahkota. Program ini membantu keluarga-keluarga tersebut dalam persiapan perayaan, memastikan mereka dapat merayakan Deepavali tanpa sebarang kesulitan.
Agihan bakul makanan di Kuantan
Beberapa hari lalu KEADILAN Cabang Kuantan mengadakan program agihan bakul makanan kepada 250 orang masyarakat India sekitar Kuantan. Program ini merupakan satu lagi usaha untuk memastikan semua lapisan masyarakat, terutama yang memerlukan agar merasai kegembiraan Deepavali. Agihan ini menunjukkan komitmen KEADILAN dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik sekaligus memperkukuh solidariti dalam komuniti.
Pemberian daging kambing di Raub
Sebagai tambahan, KEADILAN Pahang juga telah melaksanakan program pemberian 100 pek daging kambing kepada masyarakat India di Raub. Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan bahawa masyarakat dapat menikmati hidangan tradisional yang menjadi sebahagian daripada sambutan Deepavali, menambah keceriaan dalam perayaan ini.
Sumbangan di setiap daerah
Setiap daerah di Pahang juga telah menerima sumbangan sekurang-kurangnya 100 kotak makanan oleh KEADILAN Pahang. Kesemua program ini mencerminkan keprihatinan KEADILAN terhadap masyarakat India di Pahang, memastikan bahawa semua rakyat tanpa mengira latar belakang dapat merayakan Deepavali dengan penuh kegembiraan.
Program-program yang dilaksanakan oleh KEADILAN Pahang sempena Deepavali 2024 ini bukan sahaja menghargai masyarakat India tetapi juga memupuk perpaduan dalam kalangan semua rakyat. Dengan sokongan semua pihak diharapkan Deepavali tahun ini akan dirayakan dengan lebih meriah dan bermakna bagi seluruh komuniti.
_____________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Pahang
Comments