Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Buat pertama kalinya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kewangan (MOF) mengorak langkah menjalin kerjasama secara bersepadu bagi mengatasi masalah keciciran dalam pembelajaran di negara ini.
Kerjasama bagi maksud tersebut digerakkan melalui satu pendekatan yang dinamakan “Program Anak Kita”.
Melalui program berkenaan, KPM dan MOF akan menumpukan kepada usaha meningkatkan literasi dan numerasi dalam kalangan murid, mempertingkatkan kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengintegrasikan semula pelajar yang tercicir kembali ke dalam sistem pendidikan.
Program Anak Kita yang akan dilancarkan Jumaat ini dikelolakan oleh kedua-dua kementerian itu dengan kerjasama Yayasan Hasanah serta organisasi korporat, pertubuhan masyarakat sivil, universiti awam, syarikat berkaitan kerajaan dan organisasi antarabangsa.
"Program pemulihan pembelajaran yang akan dilaksanakan merangkumi intervensi yang disasarkan termasuk kelas pemulihan, latihan guru dan alat pembelajaran digital," demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan kedua-dua kementerian.
Tidak dapat disangkal program yang digerakkan melalui dua kementerian ini adalah usaha terpuji bagi mengatasi masalah keciciran dan meningkatkan tahap pembelajaran rakyat di negara ini.
Meminimumkan keciciran
Diharapkan dengan usaha ini, isu keciciran dapat diminimumkan dan negara terus bergerak ke hadapan dalam peningkatan ilmu dalam kalangan rakyatnya.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam kenyataan yang sama berkata, berdasarkan statistik Lembaga Peperiksaan sebanyak 10,160 calon atau 2.65% daripada 395,870 calon yang berdaftar untuk SPM tidak hadir peperiksaan itu tahun lepas.
"Sebanyak 6.5% daripada jumlah calon bersamaan dengan 25,735 pelajar tidak layak menerima sijil SPM mereka," katanya sebagai menjelaskan situasi keciciran pembelajaran di Malaysia pada masa ini.
Fadhlina menambah, Program Anak Kita adalah inisiatif Kerajaan Madani yang dilaksanakan merentas kementerian dan agensi dengan tiga tunjang utama yang melibatkan sekitar 83,700 murid daripada 3,400 buah sekolah.
Katanya, tiga tunjang itu ialah pertama untuk meningkatkan tahap literasi dan numerasi murid sekolah rendah daripada tahap “belum menguasai” kepada tahap “menguasai” dan ini melibatkan 1,289 buah sekolah rendah di 7 buah negeri, iaitu Johor, Selangor, Kelantan, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak.
"Tunjang kedua, adalah untuk meningkatkan keputusan SPM, terutamanya dalam mata pelajaran wajib lulus Sejarah dan Bahasa Melayu di mana tuisyen dan program lain akan dianjurkan untuk meningkatkan keyakinan murid dan membimbing hala tuju mereka selepas SPM yang keseluruhannya melibatkan sekitar 2,100 buah sekolah menengah di seluruh negara.
"Tunjang ketiga mengembleng usaha mengembalikan murid cicir ke sekolah, termasuk mereka yang tercicir di tahap sekolah rendah mahupun sekolah menengah dan ini melibatkan program ziarah ke rumah murid cicir dan kaunseling serta pemberian bantuan yang bertepatan.
"Ia melibatkan 50 buah sekolah menengah dan 20 sekolah rendah di 6 negeri, iaitu Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak," tegasnya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula berkata, usaha menangani keciciran pembelajaran perlu kerana pendidikan adalah asas kepada pembangunan modal insan yang menjadi aset kepada kemakmuran ekonomi negara.
Memperkasakan belia
Beliau berkata pemilikan kelayakan SPM adalah satu perkara yang kritikal untuk memperkasakan belia dan memastikan penyertaan produktif dalam tenaga kerja.
"Pendidikan yang baik dapat membina generasi yang mempunyai keperibadian baik dan kemahiran intelektual yang amat diperlukan untuk memacu ekonomi yang mampan seperti yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi Madani.
"Melalui peningkatan pendidikan, rakyat mampu keluar dari kemelut kemiskinan sekali gus mengangkat lantai ekonomi keluarga bagi jangka masa panjang sejajar hasrat kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan di negara ini," katanya.
_______________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments