top of page

PRN Johor: MUDA beri nilai tambah kemenangan?

Updated: Feb 12, 2022



Oleh: Atriza Umar


Rakyat Malaysia tentunya ingin melihat lanskap politik negara berubah dengan menampilkan muka-muka baharu apalagi anak muda yang berkompetensi dan berintegriti sebagai calon wakil rakyat.


Politik yang bersih tanpa ada anasir jahat apalagi fitnah perlulah diteruskan bagi melihat ‘pesta demokrasi’ negara berlangsung dengan meriah serta sekalian rakyat Malaysia akan bersama-sama turun melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membuang undi.


Resepinya sangat mudah iaitu setiap parti yang bertanding tidak perlu memburukkan pihak lawan semata untuk meraih sokongan dan undi. Barangkali, ia wajar dimula apalagi diteruskan kembali agar menjadi budaya hingga mendidik rakyat Malaysia untuk bersama menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyatnya.


Sedari kini, ia harus diterapkan agar arena politik negara kembali ‘suci’ dan dapat dilihat sebagai satu ruang memilih pemimpin, melalui pilihan raya.


Setiap parti punya kekuatannya yang tersendiri. Namun bagaimana ia dapat dilihat baik dan menarik di mata rakyat untuk turut sama mengundi adalah satu perkara yang perlu dikaji dan perhalusi.


Melalui Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, arena politik negara telah menyaksikan satu perubahan yang besar pada 9 Mei 2018, sebanyak 14,636,716 orang pemilih biasa (keluar membuang undi) dan 300,255 orang pemilih awal (tentera dan pasangan/polis) melaksanakan tanggungjawab mereka.


Mampukah sekali lagi pesta demokrasi itu menjuarai lapangan politik negara?


PH menempa sejarah semula?


Buat pertama kalinya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal menyaksikan calon Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) beraksi di lapangan sebenar setelah diluluskan pendaftarannya pada 14 Disember lalu.


Sebagaimana yang dilaporkan media, MUDA akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan keputusan itu dibuat selepas persetujuan dicapai dalam perbincangan bersama Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, baru-baru ini.


Boleh jadi, harapan rakyat tertumpu kepada perjuangan MUDA bagi merealisasikan politik yang bersih lagi telus. Dengan keputusan bergabung bersama PH (pakatan pilihan raya) dalam PRN Johor akan datang, tentunya menjadi nilai tambah dan kekuatan kepada PH. Dalam menentukan kerusi untuk bertanding pula, PH perlulah lebih sepakat dan menampakkan kesefahaman yang tuntas agar dilihat lebih bijaksana. Tidak terkecuali, meletakkan calon-calon yang berkompetensi dan berintegriti serta punya kewibawaan untuk meneruskan perjuangan parti dan rakan sekutunya.


Negeri keempat adakan PRN


Terdahulu, pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar telah memberi perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, seterusnya menyebabkan PRN harus diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.


Berikutan itu, menjadikan pilihan raya ini sebagai PRN keempat selepas Sabah, Melaka dan Sarawak yang diadakan di luar Pilihan Raya Umum (PRU) yang diadakan serentak dengan kerusi Parlimen.


Terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan sebelum ini adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (11), MIC (dua), PAS (satu) sementara Amanah (enam) dan PKR (tujuh).


Sebelumnya, Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.


Undi golongan muda


Buat julung kalinya, lebih 700,000 pengundi berusia 18 tahun ke atas didaftarkan mengundi secara automatik selepas diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari lalu.


Jumlah pengundi di negeri Johor sebagaimana yang dilaporkan SPR, mencatatkan pertambahan hampir 30 peratus, dengan pertambahan 749,731 pengundi muda susulan pendaftaran automatik Undi18.


Ini menjadikan jumlah pengundi untuk PRN Johor meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pada PRU ke-14 lalu.


Sebagaimana memetik kata Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha, golongan ini akan menjadi game changer (pengubah permainan) yang akan memberikan petunjuk kepada pola dan gaya pengundian untuk PRU-15.


“Pengundi muda mahukan kerajaan yang stabil dan demokrasi menyelesaikan masalah asas serta isu harian mereka, seterusnya menamatkan ‘politiking’ yang membosankan dan tidak membawa Malaysia ke mana-mana.”


Maka, inilah waktunya setiap parti politik mempersembahkan ‘lukisan politik’ yang menarik dan mendidik agar golongan muda tersebut sendiri mempunyai kesedaran untuk terlibat dalam mencorak negaranya dengan terlibat dalam setiap kali pilihan raya.


Strategi Menang?


Pada 26 Januari lalu, Majlis Presiden PH telah bersetuju membenarkan DAP dan Amanah menggunakan logo Pakatan Harapan dan KEADILAN menggunakan logonya sendiri pada PRN Johor akan datang. Ia dilihat satu strategi yang sangat baik.


Walaupun, pada satu sisi yang lain, ia dilihat tiada kesepakatan, namun seharusnya tidak menjadi penghalang atau perosak kepada PH itu sendiri.


Tentunya masih belum terlambat, walau terdapat sebarang kemungkinan pengundi muda memilih tidak keluar mengundi pada PRN Johor akan datang kerana kesedaran politik masih di tahap yang lemah.


Ini juga adalah masa yang sesuai, setiap parti politik terus memberikan kefahaman mengenai pendidikan politik kepada rakyat bagi membantu kelangsungan proses demokrasi negara untuk memilih pemimpin melalui pilihan raya.


Sebagaimana yang dilakukan oleh mantan Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik yang menghasilkan bahan bacaan pendidikan politik melalui komik #Undi18 Belia Malaysia Memilih, memberikan pendedahan kepada mereka yang baru pertama kali mengundi, siapakah calon dan parti yang sepatutnya di undi.


Begitu juga dengan ajardemokrasi.com yang menghidangkan mengenai Pendidikan Literasi Politik iaitu inisiatif yang digerakkan oleh anak-anak muda bagi menjawab permasalahan kurangnya literasi atau pendidikan politik dalam kalangan anak muda serta masyarakat secara awamnya dengan pengisian serta penulisan yang berkualiti serta kreatif kepada pembaca.


Anak-anak muda itu percaya bahawa pendidikan adalah asas kepada kefahaman untuk melakukan perubahan di tanah air yang tercinta ini.


Seharusnya, inisiatif demikian wajar dipuji, diberi galakan dan diteruskan, bahkan bukan sahaja SPR tetapi juga pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahupun masyarakat dengan memberikan pendedahan mengenai kepentingan politik dan mengundi kerana ia berkait rapat dengan masa hadapan kepimpinan negara.


__________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Felo NASR - Nusantara Academy for Strategic Research


0 comments

Recent Posts

See All

Commenti


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page