Oleh: Abdullah Zaid
Kurang enam hari sebelum warga DUN Sungai Bakap membuang undi, perang poster dan bendera Pakatan Harapan (PH) dilihat lebih mendominasi berbanding Perikatan Nasional (PN).
Tinjauan Suara Keadilan di sekitar DUN Sungai Bakap misalnya, poster dan pesta bendera mendapati calon PH menghiasi dan memenuhi kawasan strategik seperti di simpang dan tepian jalan raya.
Markas-markas PH yang dijadikan tempat untuk jentera menyimpan bendera dan poster bagi kegunaan kempen juga kelihatan meriah dengan kebanjiran orang ramai.
Dalam pada itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad mengingatkan, semua parti dan penyokong agar menjauhi sebarang provokasi ketika berkempen terutama sebelum hari pengundian.
Jelasnya, pihak beliau menerima satu laporan berhubung kes sabotaj tersebut dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang melaporkan sejumlah 38 gegantung dan 53 bendera Pakatan Harapan yang dipasang di Kawasan Jentera Daerah Mengundi Puteri Gunung, dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.
Ketuanya, Muhammad Fadzli Roslan berkata, insiden sabotaj itu dikesan pada 12.30 tengah malam dengan ada di antara bendera terbabit seolah-olah ditarik dan diturunkan selain ada dibuang ke dalam longkang.
Pada 6 Julai ini, seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Cikgu Joohari yang juga bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara ditugaskan untuk merampas kembali kerusi kubu kuat KEADILAN itu setelah beralih tangan ke Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Comments