Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap akan menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang turun sebagai satu pasukan.
Hal itu dinyatakan dalam sidang media bersama PH-BN di Wisma DAP Pulau Pinang petang ini.
Menurut Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, semua pimpinan Kerajaan Perpaduan terdiri daripada PH dan BN memutuskan untuk turun bertanding dalam PRK dengan membawa mesej perpaduan.
"Semua pimpinan Perpaduan telah dengan teguhnya menyatakan kita akan bertanding secara all out untuk membawa mesej perpaduan kepada rkayat jelata.
"Memandangkan ia (PRK) melibatkan isu negeri, isu tempatan, mungkin juga ada isu Kerajaan Persekutuan. Kita akan membuktikan kita senantiasa bersama rakyat dalam membawa pembangunan di negeri Pulau Pinang dan Sungai Bakap khususnya," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Pulau Piiang, Nurul Izzah Anwar pula berkata, partinya sedang menilai calon paling sesuai untuk bertanding di pilihanraya tersebut.
Terdapat 5 nama yang telah disenarai pendek dan diserahkan kepada Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipilih mewakili Kerajaan Perpaduan.
"Kita ada lima nama. Di peringkat parti kita menanti keputusan akhir siapa yang diangkat selaku calon Perpaduan
"Kita mahukan pimpinan atau wakil rakyat selepas mendapat mandat memberikan khidmat yang terbaik bagi DUN Sungai Bakap
"Yang penting adalah kerjasama erat dan gerak kerja untuk menyantuni rakyat sebaik mungkin," katanya.
Sementara itu, Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berikrar bahawa gabungan itu akan membantu mana mana calon daripada PH yang diputuskan untuk bertanding di DUN Sungai Bakap.
"BN bersiap sedia sesiapa sahaja yang mewakili Kerajaan Perpaduan. UMNO akan berjuang bersungguh sungguh untuk menentukan kemenangan calon," katanya.
Manakala Pengerusi AMANAH negeri, Faiz Fadzil pula akan memberi sokongan penuh kepada calon yang diputuskan oleh KEADILAN.
"AMANAH memberi sokongan penuh kepada calon KEADILAN yang mewakili Sungai Bakap. Yang penting Perpaduan menang dan ia meningkatkan momentum (sokongan terhadap) Perpaduan di peringkat negeri," katanya.
PRK Sungai Bakap akan diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya Nor Zamri Latiff dari Pas meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
Bagi tujuan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengadakan satu Mesyuarat Khas pada minggu ini bagi membincangkan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil ke-9 (PRK9) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Comments