Oleh: Abdullah Zaid
Tinggal dua hari sebelum 39,279 pengundi berdaftar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap membuang undi, tumpuan kini terarah kepada lapan Daerah Mengundi (DM) bagi mendapat sokongan majoriti pengundi.
Tinjauan KEADILAN di DM Padang Lalang mendapati sokongan pengundi kian meningkat biarpun pusat mengundi itu dilaporkan sebagai kawasan 'kelabu'.
Ketua DM Azrul Nizam berkata, sokongan pengundi positif susulan gerak kerja kempen yang dibantu jentera luar melalui kempen rumah ke rumah di kawasan tersebut.
"Setakat ini, gerak kerja kita melalui edaran risalah dari pintu ke pintu banyak dilakukan oleh jentera dari Selangor dan Perak.
"Namun, kita tidak boleh selesa dalam beberapa hari sebelum hari pengundian ini. Gerak kerja kempen perlu digandakan lagi bagi memastikan DM Padang Lalang boleh ditawan," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.
Sementara itu, semalam, jentera wanita KEADILAN melancar konvoi Harapan Taman Pekatra Indah melibatkan 30 pelbagai jenis kereta disusuli bunyi hon dan kibaran bendera Harapan.
Program gimik pelancaran itu dihadiri calon Perpaduan Dr Joohari Ariffin, Ketua Wanita KEADILAN Fadhlina Sidek dan Timbalan Wanita Pusat KEADILAN, Juwairiya Zulkifli.
Comments