Oleh: Abdullah Zaid
Kira-kira 39,000 pengundi Sungai Bakap diharap menggunakan cuti hujung minggu untuk keluar membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan, Sabtu ini.
Oleh itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengingatkan para pengundi memanfaat kuasa memilih mereka dengan sebaik mungkin.
Menurutnya, peratusan keluar mengundi harus mencapai sekurang-kurangnya 65% bagi memastikan peluang lebih cerah untuk calon Pakatan Harapan (PH) merampas semula kerusi DUN berkenaan.
"Kita harap pengundi menggunakan kuasa memilih untuk keluar mengundi bagi melepasi 65% jumlah undi. Ia juga memberi kelebihan, peluang lebih cerah buat kita memenangi PRK ini," katanya kepada Suara Keadilan.
Jelas beliau, berbaki kurang sehari sebelum hari pengundian merupakan tempoh kritikal dan kempen akan terus dipertingkatkan bagi mendekati seramai mungkin pengundi di Sungai Bakap.
"Ketika ini kita sedang memperbanyakkan lagi kempen dan membuat kerja-kerja persiapan untuk mendapatkan pengundi atas pagar.
"Perkara ini perlu ditingkatkan supaya meningkatkan peluang kebolehmenangan calon kita," ujarnya.
Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan mantan pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin atau lebih mesra dipanggil Cikgu Joohari, sebagai calon Madani.
Anak jati Sungai Bakap itu mempunyai pengalaman luas dalam bidang latihan kepimpinan dan pengurusan selain pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Kawasan yang terletak di bawah Parlimen Nibong Tebal itu pernah menjadi kerusi KEADILAN sejak 2008 sebelum beralih tangan ke Pas pada PRN 2023.
Comentarios