Oleh: Abdullah Zaid
Sokongan penuh pengundi dari pelbagai kaum kepada calon Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap diyakini boleh mengembalikan semula DUN berkenaan kepada Kerajaan Perpaduan.
Bagi Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Juwairiya Zulkifli berkata, tempoh 14 hari berkempen melalui gerak kerja penerangan telah dimanfaat sepenuh untuk menarik pengundi menyokong Kerajaan Perpaduan.
"Ketika ini jentera wanita banyak melakukan kerja-kerja penerangan mengenai dasar kerajaan dan isu-isu tempatan supaya masyarakat Sungai Bakap dapat memahami inisiatif kerajaan pada ketika ini.
"Oleh itu, sokongan pengundi dilihat semakin meningkat terutama pengundi Melayu dan sokongan yang tidak berubah oleh pengundi Cina dan India memberi kelebihan buat kita," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.
Malah katanya dalam misi wajib menang itu, sayap wanita giat melipat gandakan usaha melalui sistem culaan bagi melicinkan gerak kerja jentera di DUN berkenaan.
"Sayap wanita sejak dari awal lagi telah membuat persiapan awal mengerahkan jentera dari seluruh negara membuat kerja-kerja kempen lapangan.
"Kami juga mempersiapkan jentera wanita membuat latihan culaan dan kempen dari rumah ke rumah supaya tempoh berkempen ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya," ujarnya lagi.
Sabtu ini, seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Wakil Kerajaan Perpaduan Cikgu Joohari yang juga bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara ditugaskan untuk merampas kembali kerusi kubu kuat KEADILAN itu setelah beralih tangan ke Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
コメント