Kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap kelmarin merupakan isyarat jelas kepada Kerajaan Perpaduan khususnya Pakatan Harapan (PH) untuk mendekali rakyat dan menguatkan kembali jentera pilihanraya.
Menurut aktivis KEADILAN, Syed Badli Shah Syed Osman, terdapat beberapa faktor yang tidak sepatutnya berlaku menyebabkan kemenangan Perikatan Nasional bukan sahaja berterusan sejak Pilihan Raya Negeri 2023 tetapi majoritinya meningkat daripada sekitar 1,500 undi kepada lebih 4,000 undi.
Katanya, sebagai Kerajaan Negeri yang memerintah Pulau Pinang dan demografi kerusi campuran sepatutnya PH mempunyai kelebihan tetapi sebaliknya pula terjadi.
Hal itu kata beliau, terkait kelemahan jentera Perpaduan menerangkan inisiatif kerajaan dalam masa sama gagal menjawab tohmahan lawan.
"Kelemahan jentera Perpaduan dalam menyampaikan mesej dan penerangan secara sistematik isu-isu semasa menyebabkan rakyat akhirnya bosan dan menghukum calon Perpaduan.
"Initiatif yang baik dilaksanakan oleh Kerajaan telah dimanipulasi pihak lawan manakala kegagalan jentera penerangan memberi penjelasan isu-isu yang menekan rakyat akhirnya menjadi penyebab rakyat menolak Perpaduan.
"Kerajaan seharusnya memanfaatkan saluran media utama, termasuk portal-portal media elektronik untuk memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung initiatif-initiatif yang telah dilaksanakan," kata Syed Badli dalam kenyataan.
Mantan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia itu berkata, seharusnya program penyasaran subsidi diklankan dengan lebih agresif dalam bentuk iklan pendek serta dibuat lebih banyak forum forum dalam media kerajaan untuk menyampaikan mesej kepada rakyat.
Katanya, kaedah menjawab atau penerangan sepatutnya lebih kemas dengan memperbanyakkan info grafik, podcast dan sebagainya yang lebih digemari generasi muda.
Selain itu, beliau juga mencadangkan agar disusun jentera penerangan parti secara lebih sistematik dengan melatih pempengaruh-pempengaruh untuk berhujah secara fakta di media sosial.
"Terdapat kumpulan-kumpulan kecil aktivis media sosial di lapangan yang berusaha untuk membantu kerajaan memberikan penerangan namun kerajaan tidak memanfaatkan mereka untuk disatukan dalam skala yang lebih besar dan dilatih dengan ilmu serta pengetahuan tepat dalam menyampaikan maklumat.
"Pihak lawan pula berjaya dalam penerangan dengan memperkukuhkan kedudukan pasukan pempengaruh mereka untuk bergerak secara lebih tersusun dan sistematik.
"Tidak hairanlah para pempengaruh pembangkang dilihat menguasai media sosial. Kesannya, dilihat rakyat terpengaruh dengan dakyah fitnah berbanding dengan fakta yang sebenar," katanya.
Syed Badli juga mencadangkan agensi-agensi kerajaan sedia ada seperti Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dan Jabatan Strategi Komunikasi (STRATCOM) perlu diperluaskan peranannya supaya keupayaan agensi-agensi itu dapat dimanfaatkan oleh kerajaan secara berkesan.
Juga kekuatan semua sayap penerangan dan komunikasi termasuk dari parti-parti politik komponen kerajaan perlu disatukan di bawah satu bumbung supaya semua usaha penerangan boleh digerakkan secara sistematik.
Bagaimanapun, katanya, sentuhan terbaik tentulah progam pemimpin turun padang mendekati rakyat terutama di kawasan kawasan yang dimenangi pembangkang.
"Pimpinan pro kerajaan juga dilihat terlalu selesa dengan kedudukan.
"Sehinggakan terdapat segelintir mereka hanya menjengah bertemu rakyat pada musim pilihanraya untuk meraih undi. Aktiviti-aktiviti bersama rakyat seperti sukan dan program-program jarang dianjurkan di luar musim pilihanraya. Padahal program seperti inilah akan merapatkan jurang antara rakyat dan kerajaan.
"Program-program santuni anak muda juga jarang dianjurkan sedangkan undi anak muda memberikan impak besar terhadap keputusan pilihanraya," katanya lagi.
Syed Badli juga menegur pemimpin muda tertentu komponen Kerajaan Perpaduan yang kebelakangan ini banyak mengkritik kerajaan, sedangkan peranan mereka adalah menyokong polisi dan menerangkannya kepada rakyat.
Justeru beliau berharap semua pihak dalam Kerajaan Pepaduan mencontohi sikap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa cuba menyantuni setiap rakyat yang ditemui dengan melibatkan diri dalam program-program yang dekat dihati mereka.
Comentarios