Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang memberikan dokongan penuh kepada calon Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap.
Ketuanya Fadzli Roslan berkata, sayap jentera KEADILAN itu bersedia berusaha sekuat mungkin melalui kempen lapangan bagi memenangkan calon Dr Joohari Ariffin.
"Hasil kemenangan PRK Kuala Kubu Bharu (awal Mei lalu) banyak disumbangkan melalui kempen lapangan justeru untuk pastikan calon Perpaduan kita menang, AMK perlu bekerja keras melalui kempen dari pintu ke pintu dan program belia bagi memastikan kemenangan ini berpihak kepada kita," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.
Pada masa sama, menurut Fadzli, pengundi Sungai Bakap diharap akan mengembalikan kerusi tradisi milik Pakatan Harapan bagi memastikan perancangan pembangunan ekonomi di DUN tersebut dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Katanya, kemenangan perlu berpihak kepada Kerajaan Perpaduan agar segala perancangan pembangunan selari dengan kerajaan pusat.
"Saya harap pengundi Sungai Bakap membuat perubahan dan memilih calon kita agar segala idea pembangunaan dapat direalisasikan dengan lebih mudah dan cepat.
"Sekiranya kita gagal merampas kembali kerusi ini ia boleh merugikan rakyat Sungai Bakap sendiri untuk mendapat manfaat ekonomi daripada negeri dan pusat," ujarnya lagi.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan selepas penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu meninggal dunia kerana mengalami keradangan dalam perut.
PH mempertaruhkan mantan pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin bagi merampas kembali kerusi tradisi KEADILAN yang dikuasai PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.
Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Comments