Oleh: Noraini Nordin
SOROTAN PRK NENGGIRI: Wanita KEADILAN adalah antara ribuan penyokong yang turut bersama mengiringi calon Perpaduan pada penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pagi ini.
Jentera Wanita KEADILAN yang digerakkan atas saranan Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek hadir dari pelbagai negeri untuk memberi sokongan dalam misi memenangkan calon BN DUN tersebut.
Walaupun Wanita KEADILAN terlibat dengan pelbagai program di tempat masing-masing namun demi semangat perpaduan mereka tetap hadir. Ada yang datang bersama pasukan dengan menyewa bas khas dan ada juga yang hadir menggunakan kenderaan masing-masing.
Seminggu sebelum penamaan calon, kumpulan-kumpulan 'task force' yang berpengalaman dalam bidang masing-masing telah terlebih dahulu diarahkan berkampung di Nenggiri yang diketuai oleh Ketua Wanita KEADILAN Negeri Kelantan, Nor Azmiza Mamat. Turut membantu Ketua Wanita KEADILAN Cabang Gua Musang, Hashimah Daud.
Sehubungan itu, gerak kerja menawan pengundi Nenggiri telah disusun kemas untuk memenangkan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
Kempen bersepadu diaktifkan
Sementara itu, suasana di pusat penamaan calon PRK DUN Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang pagi ini meriah dibanjiri lautan penyokong Perpaduan (merah PH dan biru BN) yang terdiri daripada pemimpin serta jentera kempen.
Penyokong Pakatan Harapan (PH) dan BN berkumpul di luar bangunan Pejabat Kesedar Gua Musang dan bergerak ke pusat penamaan calon seawal jam 7 pagi.
Turut menyertai penamaan calon ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari serta Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan persaingan sengit antara Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN) dengan calon Pas-PN, Mohd Rizwadi Ismail.
Kerusi DUN Nenggiri sebelum ini disandang Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu tetapi keahliannya dalam parti itu telah digugurkan pada 13 Jun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan bagi memberi ruang kepada 14 pengundi memilih secara pos.
Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.
_______________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
コメント