Oleh: Abdullah Zaid
Strategi Kerajaan Perpaduan meletakkan calon muda Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri merupakan satu langkah tepat bagi membawa suara belia di kawasan itu.
Ketua Penerangan Angkatan Muda (AMK) KEADILAN Kelantan, Alif Ikhwan Yusof berkata, anak jati Gua Musang yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu dilihat cukup berpengalaman dan tahu selok-belok yang dimahukan oleh penduduk Nenggiri.
"BN telah mencalonkan ketua pemuda UMNO Kelantan sebagai calon mereka yang berpengalaman dalam kerja-kerja khidmat di Nenggiri.
"Pemilihan ini menunjukkan keyakinan BN terhadap pemimpin belia dalam parti selain usaha BN untuk meremajakan imej parti dalam menarik pengundi muda," katanya kepada Suara Keadilan.
Jelas beliau sebagai rakan komponen parti, AMK Kelantan optimis membantu calon BN itu untuk merampas kembali kerusi tradisi BN dari tangan Bersatu.
"Hari penamaan calon kelmarin berjalan lancar, dengan sokongan kuat penyokong BN, AMK Kelantan juga memainkan peranan penting dalam menyokong calon BN, ia menunjukkan kerjasama erat dalam kalangan komponen BN serta parti gabungan Kerajaan Madani.
"Keputusan PRK Nenggiri ini penting bagi memberi gambaran (pergerakan) politik Malaysia, oleh itu, AMK akan melipatgandakan usaha untuk membantu memenangkan calon Perpaduan," ujarnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRK Nenggiri pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan bagi memberi ruang kepada 14 pengundi memilih secara pos.
Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.
Comments