Setakat jam 10 pagi Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mencatatkan 25.66%, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Proses mengundi di 20 pusat pengundian membabitkan 46 saluran setakat ini dilaporkan berjalan lancar dalam suasana cuaca redup.
Bagi melancar proses pengundian sebanyak 20 pusat pengundian bagi PRK Nenggiri dibuka serentak pada jam 8 pagi tadi dengan 14 pusat pengundian dibuka sehingga jam 6 petang dan enam pusat pengundian ditutup lebih awal.
Empat pusat mengundi akan ditutup 2 petang nanti adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala dua lagi ditutup 3 petang iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat.
Proses penjumlahan undi pula akan berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) menjangkakan keputusan dapat diumumkan seawal 9 malam.
Dalam pada itu, suruhanjaya pilihan raya itu menjangkakan jumlah peratusan keluar mengundi 60%.
Seramai 20,259 pengundi berdaftar akan membuang undi PRK Nenggiri bagi memilih wakil rakyat baharu selepas penyandangnya Azizi Abu Naim dikosongkan kerusi oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.
PRK berkenaan yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Perpaduan (BN) yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan lambang Pas.
Comments