Oleh: Abdullah Zaid
Tidak tiga hari sebelum pengundi Dewan Undang Negeri (DUN) Nenggiri membuang undi pada 17 Ogos ini, perang poster dan bendera Barisan Nasional (BN) melawan Perikatan Nasional (PN) dilihat menghiasi hampir kesemua lokasi di DUN ini.
Terutama di sekitar Kampung Limau Kasturi dan Kampung Asap yang mana markas-markas BN meriah diselimuti warna biru.
Dalam pada itu Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub optimis pengundi di Nenggiri bakal mendapat manfaat besar sekiranya blok Perpaduan merampas kembali kerusi berkenaan.
Katanya, BN akan memberikan khidmat terbaik iaitu komitmen wakil rakyat mendengar dan menyelesaikan masalah penduduk.
"Bagi kita untuk PRK kali ini, kita tidak akan keluarkan manifesto, kita hanya ada satu manifesto, iaitu wakil rakyat kita sekiranya diberikan mandat akan berkhidmat dan menyelami permasalahan penduduk Nenggiri.
"Yang penting kita berkhidmat kepada rakyat. Apa guna melancarkan dan buat manifesto kalau manifesto Pilihan Raya Umum 1990 tidak selesai sampai hari ini (sebagaimana Pas)," katanya memetik UMNO Online.
Sabtu ini, seramai 20,259 pengundi berdaftar akan membuang undi bagi memilih wakil rakyat baharu bagi kerusi itu.
PRK berkenaan diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Kerajaan Perpaduan mencalonkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN) berentap dengan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail.
Comments