Kemenangan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani di kerusi DUN Nenggiri yang dipertahankan Perikatan Nasional semalam menyerlahkan penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan dan reformasi yang sedang diusahakan ke arah kesejahteraan rakyat Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat Kelantan yang mula menyesuaikan diri dengan perubahan yang dibawa telah menunjukkan sokongan terhadap pentadbiran Kerajaan Madani dengan memenangkan calon Perpaduan.
"Alhamdulillah, tahniah saudara Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Barisan Nasional atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Nenggiri semalam, sekali gus membuktikan rakyat Kelantan menerima kesepakatan yang terhasil menerusi gabungan Perpaduan.
"Kemenangan ini juga adalah penzahiran kepercayaan rakyat yang semakin menyesuaikan diri dengan gelombang perubahan di bawah Kerajaan MADANI, selaras dengan petanda lonjakan ekonomi negara yang kian mekar sejak akhir-akhir ini," katanya dalam catatan di Facebook.
Tegas Anwar, kemenangan itu akan menjadi satu suntikan moral kepada Kerajaan Madani untuk lebih kuat berusaha memelihara kebajikan rakyat dan menjulang kemakmuran negara ke tingkat tertinggi.
Comments